Advertisement

U-MILES: Kembara Akademik Vietnam Perkasa Kepimpinan Global dan Kesedaran Pemakanan Sihat di Vietnam

Berita dari: Adib Farisha Binti Yunidzin

HO CHI MINH CITY, VIETNAM, 30 Julai 2026: Seramai 15 orang pelajar Inapan Siswa BSN menyertai Program Mobility for International Leadership Experiences (U-MILES): Kembara Akademik Vietnam yang diadakan dari 29 Julai hingga 3 Ogos 2026 di Ho Chi Minh City, Vietnam.

Program ini dianjurkan dengan kerjasama Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB), Vietnam Foodbank, S.O.S Children’s Village dan University of Economics Ho Chi Minh City (UEH). Penganjuran program tersebut memberi peluang kepada para peserta untuk mengembangkan kemahiran kepimpinan antarabangsa, meningkatkan kesedaran sosial dan membina jaringan kerjasama rentas negara.

Antara pengisian utama program ialah “Nourishing Vietnam: Food Education Workshop”, sebuah program tanggungjawab sosial korporat yang dilaksanakan di S.O.S Children’s Village. Menerusi bengkel tersebut, para peserta berkongsi pengetahuan dengan kanak-kanak mengenai kepentingan nutrisi, pemakanan sihat dan pengambilan makanan yang seimbang.

Inapan Siswa BSN dan OYAGSB turut menyumbangkan sebanyak 150 unit alat tulis, buku nota dan buku mewarna kepada kanak-kanak di S.O.S Children’s Village sebagai tanda sokongan terhadap pembelajaran serta perkembangan pendidikan mereka.

Menurut Pengarah Program, Aprillia Anggraeni, pengalaman tersebut telah memberikan impak yang besar kepada semua peserta.

“Program ini sangat bermakna kerana ia memberikan kesedaran kepada kami tentang kepentingan untuk berkongsi ilmu, membantu komuniti dan memainkan peranan secara aktif dalam mewujudkan perubahan yang positif,” katanya.

Program diteruskan dengan aktiviti pertukaran budaya dan jelajah kampus bersama University of Economics Ho Chi Minh City. Aktiviti ini membolehkan para peserta mengenali budaya Vietnam, bertukar pandangan dengan komuniti universiti serta memperoleh pendedahan terhadap suasana pendidikan tinggi di negara tersebut.

Penglibatan kedua-dua institusi dalam aktiviti berkenaan telah memperluas perspektif para peserta, memperkukuh hubungan antarabangsa dan membuka ruang kepada kerjasama yang lebih erat.

Program U-MILES: Kembara Akademik Vietnam menyumbang kepada pencapaian SDG 2: Sifar Kelaparan, SDG 4: Pendidikan Berkualiti dan SDG 17: Kerjasama demi Matlamat, selaras dengan usaha melahirkan mahasiswa yang berpengetahuan, prihatin dan mempunyai perspektif global.