Oleh: Pn. Suhailah binti Muhammad Philip
MELAKA, 11 September 2026 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menyantuni sepuluh (10) bakal mahasiswa menerusi Siri Program Ziarah Kasih Pelajar Baharu UTHM 2026 yang berlangsung dari 7 hingga 11 September 2026, melibatkan empat negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Perak dan Melaka.
Siri jelajah bermula di Kemaman, Terengganu pada 7 September 2026 dengan satu momen istimewa apabila bakal mahasiswa UTHM, Low Hock Yong dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), berpeluang menerima panggilan video daripada Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.

Low Hock Yong yang tinggal bersendirian turut menerima Bantuan Awal Pengajian berjumlah RM1,000 daripada Yayasan Perkasa Siswa (YPS), sumbangan Foodbank daripada Pejabat Hal Ehwal Pelajar (PHEP) serta sokongan pihak fakulti sebagai persediaan sebelum memulakan pengajian di UTHM.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTHM, Prof. Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq, program berkenaan mencerminkan keprihatinan universiti dalam memastikan kebajikan bakal mahasiswa diberikan perhatian sejak sebelum mereka mendaftar di kampus.
“UTHM mahu memastikan setiap bakal mahasiswa, khususnya yang memerlukan sokongan, mengetahui bahawa mereka tidak bersendirian. Kebajikan dan kesejahteraan mereka sentiasa menjadi keutamaan universiti.”
Selain Low Hock Yong, siri Ziarah Kasih di Terengganu turut menyantuni dua lagi bakal mahasiswa, iaitu Muhammad Aliff Murshidi bin Awang (FTK) dan Hanis Khairina Dhia binti Mohd Rokit (FKEE) di sekitar Kemaman dan Marang.
Siri jelajah kemudiannya diteruskan ke Kelantan dengan menyantuni empat (4) bakal mahasiswa, iaitu Muhammad Shafie bin Jakaria (FKMP), Muhammad Dani Fahimi bin Mohd Farid (FPTP), Muhammad Danish Imtiaz bin Mohd Sabri (FPTV) dan Nur Husina binti Amran (FSKTM).
Di Perak, dua (2) bakal mahasiswa yang disantuni ialah Nor Fatin Nadhirah binti Ramli (FPTP) dan Mohamad Azamudin bin Azhar (FPTP). Mohamad Azamudin turut menerima Bantuan Awal Pengajian berjumlah RM1,000 daripada Pusat Wakaf dan Endowmen UTHM, serta sumbangan Foodbank daripada PHEP.
Siri Program Ziarah Kasih Pelajar Baharu UTHM 2026 kemudiannya melabuhkan tirainya di Bukit Piatu, Melaka pada 11 September 2026 menerusi kunjungan ke kediaman Faiz Firdaus bin Mohd Sharif, bakal mahasiswa program Sarjana Muda Sains Komputer (Analitik Data) dengan Kepujian, UTHM.
Kunjungan penutup tersebut menjadi lebih bermakna dengan kehadiran YB Adam Adli bin Abd Halim, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, yang meluangkan masa menyantuni Faiz Firdaus dan keluarganya serta menyampaikan kata-kata semangat sebelum beliau memulakan pengajian di UTHM.
Dalam kunjungan itu, Faiz Firdaus menerima Bantuan Awal Pengajian Tinggi daripada Yayasan Perkasa Siswa (YPS) serta sumbangan Foodbank daripada Pejabat Hal Ehwal Pelajar UTHM bagi membantu persediaan awal pengajiannya.
Turut hadir ialah En. Khairuddin bin Alias, Pengarah Pejabat Hal Ehwal Pelajar UTHM; Profesor Madya Ts. Dr. Siti Suhana binti Jamaian, Timbalan Dekan, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) UTHM, mewakili pihak fakulti; wakil Yayasan Perkasa Siswa; pegawai-pegawai PHEP serta wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTHM.
Program yang berlangsung dari 7 hingga 11 September 2026 ini selari dengan aspirasi UTHM Prihatin dalam memperkukuh kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa melalui pendekatan turun padang, menyantuni keluarga serta mengenal pasti keperluan pelajar lebih awal.
Kunjungan ini bukan sekadar menyampaikan bantuan, malah membawa mesej bahawa setiap mahasiswa UTHM akan terus disantuni, disokong dan diberikan peluang untuk memulakan perjalanan akademik dengan penuh keyakinan.
UTHM Prihatin, Mahasiswa Disantuni.














