Oleh : Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA

PULAU PINANG, 14 September 2026 – Seramai 5,804 lepasan STPM, Matrikulasi, Asasi dan Diploma ditawarkan tempat untuk mengikuti pengajian program Ijazah Sarjana Muda (Penuh Masa) dan Diploma melalui kesemua saluran kemasukan Universiti Sains Malaysia (USM) bagi Sidang Akademik 2026/2027.
Dalam sidang akhbar yang berlangsung di Dewan Utama Desasiswa M08 RST pagi tadi, Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, memaklumkan bahawa seramai 4,904 calon melalui UPU (Saluran Perdana) berjaya ditawarkan tempat bagi mengikuti 79 program Ijazah Sarjana Muda (Penuh Masa) di USM.

Menurut beliau, komitmen USM menerusi agenda Universal Social Responsibility (USR) terus diperkukuh dengan mengekalkan naratif pengambilan golongan terkebawah bagi membuka ruang pendidikan tinggi kepada kelompok tercicir dan kurang berkemampuan, termasuk 2,241 calon daripada kategori B40 yang ditawarkan tempat melalui saluran UPU, iaitu merangkumi 46% daripada keseluruhan tawaran.
Selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi untuk memperluas akses pendidikan kepada golongan berkeperluan, USM turut menawarkan Program Siswa Sulung kepada 216 pelajar yang merupakan individu pertama dalam keluarga untuk melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi daripada keluarga miskin tegar atau B40, dengan nilai bantuan keseluruhan berjumlah RM2.16 juta.
Buat julung kalinya, USM turut memperkenalkan Biasiswa Pelajar Terbaik STPM 2025 kepada seorang calon terbaik yang ditawarkan melanjutkan pengajian di USM, dengan biasiswa tersebut meliputi yuran pengajian dan yuran kebajikan sepanjang tempoh pengajian termasuk yuran pendaftaran serta konvokesyen.
Bermula Sidang Akademik 2026/2027, USM turut memperkenalkan Program Kejuruteraan Elektronik (Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik dengan Kepujian) oleh Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di bahagian Pulau, Pulau Pinang berasaskan pendekatan Industry-Infused Programme (IIP) bagi melahirkan bakat berkemahiran tinggi yang lebih bersedia memenuhi keperluan industri, dengan kohort sulung seramai 200 pelajar ditempatkan di Kampus Induk sebelum berpindah ke kampus tetap di SAINS@USM, Bukit Jambul yang dijangka siap pada tahun 2029.


Dalam memperkukuh agenda keterangkuman serta pembangunan bakat negara, USM turut menyediakan kemudahan mesra OKU kepada 17 calon OKU yang ditempatkan di ketiga-tiga kampus termasuk fasiliti mesra OKU di Desasiswa Aman Damai, selain menawarkan peluang pengajian kepada 16 atlet negeri dan negara melalui saluran kemasukan warga sukan.
Pelajar Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (Terjemahan dan Interpretasi), Lee Lulu, meluahkan rasa gembira apabila berjaya melanjutkan pengajian di USM menerusi pilihan pertama UPU dan kini menetap di Desasiswa Aman Damai.
“Saya berasa gembira kerana dapat masuk ke USM melalui pilihan pertama UPU. Saya berasal dari Pasir Gudang, Johor, dan kini tinggal di Desasiswa Aman Damai,” katanya.
Sesi sidang akhbar turut diserikan dengan kehadiran barisan pengurusan tertinggi USM yang terdiri daripada Prof. Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, Prof. Datin Dr. Noor Hazlina Ahmad, Timbalan Naib Canselor Bahagian Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Habibah A. Wahab, Timbalan Naib Canselor Bahagian Penyelidikan dan Inovasi, Encik Mohd Azizudin Mohd Shariff, Pendaftar USM, serta barisan kepimpinan tinggi USM.
Untuk lebih banyak berita, ikuti kami di :












