Advertisement

Thineshaa Ann dan Geraldine Raih Pengiktirafan dalam Pertandingan Esei Pengajian Jepun 2026

Teks/foto: Thineshaa Ann, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM

Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA USM

PULAU PINANG, 27 Oktober 2026 – Syabas dan tahniah diucapkan kepada Thineshaa Ann, pelajar Tahun Dua dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, dan Wong Sau Kum, Geraldine, pelajar Tahun Akhir dari Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Penterjemahan, Universiti Sains Malaysia (USM), atas kejayaan meraih pengiktirafan dalam The Third Japanese Studies Essay Contest & Mentorship Programme 2026.

Pertandingan yang berlangsung pada 24 Oktober 2026 di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM), itu dianjurkan oleh The Japan Foundation Kuala Lumpur dengan kerjasama Malaysian Association of Japanese Studies (MAJAS) dan Jabatan Pengajian Asia Timur, UM, serta tajaan Mitsui & Co. (Malaysia) Sdn. Bhd.

Thineshaa Ann dinobatkan sebagai Best Presenter dan menerima hadiah wang tunai RM500 tajaan Mitsui & Co. (Malaysia) Sdn. Bhd. menerusi penyelidikan bertajuk “The Look East Policy: Comparing the Authenticity of Japanese Work Values in Malaysian and Japanese Workplaces” yang membandingkan penerapan nilai kerja dalam persekitaran pekerjaan di Malaysia dan Jepun melalui Dasar Pandang ke Timur (Look East Policy).

Turut membanggakan, Geraldine menerima pengiktirafan Honourable Mention menerusi penyelidikan bertajuk “Mottainai: Traditional Japanese Values as a Framework for Global Sustainable Waste Management” yang mengupas potensi nilai tradisional Jepun, Mottainai, sebagai kerangka pengurusan sisa lestari pada peringkat global, sekali gus mengharumkan nama USM dalam bidang Pengajian Jepun.

Penyertaan USM dalam program ini turut melibatkan Dr. Hafeeza Ahmad Pazil dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan yang berperanan sebagai mentor kepada pelajar dari universiti lain, sekali gus memperkukuh perkongsian kepakaran dan jaringan akademik dalam bidang tersebut.

Penganjuran pertandingan ini bertujuan memupuk minat dan meningkatkan pemahaman pelajar terhadap masyarakat, budaya serta hubungan antarabangsa Jepun, di samping menggalakkan penghasilan penulisan ilmiah berkualiti dan memperluas jaringan akademik antara pelajar, mentor serta penyelidik dalam bidang Pengajian Jepun.

Total Views: 12