Oleh : Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA

PUTRAJAYA, 2 Oktober 2026 — Universiti Sains Malaysia merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Saudari Then Min Han, pelajar program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Bioproses, atas kejayaan dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Khas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi sempena Anugerah Tokoh Siswa Negara (ATSN) 2026 yang berlangsung di Marriott Putrajaya.
Majlis anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, sebagai wadah pengiktirafan terhadap mahasiswa yang menyerlah melalui kecemerlangan, kepimpinan dan sumbangan dalam pelbagai bidang.
Then Min Han mencuri perhatian panel juri menerusi kepimpinan dan komitmen terhadap agenda kelestarian apabila berjaya menggerakkan penanaman 6,490 pokok bakau, memperoleh tajaan berjumlah RM100,000, terlibat dalam tujuh program kelestarian di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta memimpin 12 EXCO sebagai Penyelaras Utama Green Ambassadors USM.


Kecemerlangan tersebut turut diperkukuh menerusi penglibatan beliau di peringkat antarabangsa apabila terpilih sebagai Delegasi Malaysia ke ASEAN-Japan Youth Forum dan Finalis Design for Plastic Circularity Challenge, selain aktif memperluas pendidikan ekonomi kitaran dalam kalangan mahasiswa bagi memupuk kesedaran serta menggalakkan tindakan terhadap kelestarian alam sekitar.
Selain kejayaan Then Min Han, USM turut diwakili tiga mahasiswa yang tersenarai sebagai finalis ATSN 2026 dalam kategori masing-masing, iaitu Muhammad Zulfahmi Sahardi bagi kategori Tokoh Inklusif Siswa, Shanggamithara Parameswaran bagi kategori Tokoh Sukan dan Rekreasi, serta Mohamad Hasbi Che Mat bagi kategori Tokoh Usahawan Siswa.
Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni berkata, kejayaan ini membuktikan mahasiswa universiti terus menyerlah menerusi kecemerlangan kepimpinan, kelestarian, inklusiviti, sukan, dan keusahawanan.
“Ini mencerminkan usaha universiti dalam membentuk generasi mahasiswa yang berdaya saing, berjiwa kepimpinan serta mampu memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat di peringkat tempatan dan antarabangsa.” ujar beliau.
Turut hadir ialah Puan Siti Aishah Abdul Raffar, Ketua Pentadbir BHEPA, bersama Profesor Dr. Azizah Omar, Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA. Seluruh warga USM merakamkan setinggi-tinggi tahniah atas kejayaan yang menjadi pemangkin kepada mahasiswa USM untuk terus mencipta kecemerlangan dan mengharumkan nama universiti di pentas nasional serta antarabangsa.













