Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA


MANJUNG, 24 Oktober 2026 – Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA) 2026 terus memperkukuh pemeliharaan seni, budaya dan warisan menerusi pendekatan yang mendekatkan khazanah tradisi dengan masyarakat, berteraskan tema “Mengakar Budaya Menjulang Warisan” yang berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober 2026 di Manjung, Perak.
Penganjuran PULARA oleh Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) terus memperkasa seni, budaya dan warisan dengan sasaran kehadiran 20,000 pengunjung, termasuk lebih 2,000 pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) serta lebih 100 pelajar antarabangsa dari 25 negara, sekali gus memperluas jaringan dan pertukaran budaya di peringkat nasional serta antarabangsa.

Dalam ucapan perasmiannya, Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, berkata PULARA kali ini menampilkan pendekatan berbeza dengan membawa pengisian festival lebih dekat kepada masyarakat menerusi pelbagai aktiviti di kampung-kampung sekitar Manjung, dan tidak lagi tertumpu pada satu lokasi sahaja.
“Pendekatan ini membolehkan pelajar, penggiat seni dan pengunjung dari luar menyelami kehidupan masyarakat setempat serta mengenali keunikan budaya dan warisan yang masih dipertahankan, manakala penduduk kampung berpeluang berkongsi tradisi, adat dan cara hidup mereka serta mempertemukan seni warisan dengan komuniti dalam suasana yang lebih dekat dan bermakna,” katanya.

Sementara itu tuan rumah PULARA 2026, Profesor Dato’ Dr. Md Amin Md Taff merangkap Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), berkata pelaksanaan PULARA 2026 diperluas menerusi 20 program PULARA Masuk Kampung yang dikendalikan oleh Majlis Kesukarelawanan Universiti Awam, selain 17 program utama yang merangkumi aktiviti seni dan budaya, kemasyarakatan serta pemindahan ilmu (knowledge transfer).
Majlis perasmian tersebut turut dihadiri oleh Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM, Puan Siti Aishah Abdul Raffar, Ketua Pentadbir BHEPA USM, bersama-sama barisan Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor universiti awam serta ketua-ketua agensi kerajaan.



Penganjuran PULARA 2026 diharap terus menyemarakkan kecintaan terhadap seni dan budaya tradisional, memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dengan masyarakat serta memastikan khazanah warisan bangsa terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.













