Advertisement

Podcast in Conversation UTM: Akses Ekosistem Sokongan Pelajar Melalui UTMCare

oleh Nazratul Hazirah binti Rushdan

JOHOR BAHRU, 5 Jun – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memelihara kebajikan serta kesejahteraan pelajar menerusi pelbagai inisiatif sokongan yang holistik dan mampan bagi memastikan tiada pelajar yang tercicir daripada menerima bantuan sepanjang tempoh pengajian.

Selaras dengan usaha memperkasa agenda kebajikan pelajar, UTM menerusi Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) telah melaksanakan pelbagai program bantuan kewangan, perlindungan sosial, dan inisiatif sara hidup sepanjang tahun 2026.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UTM, Profesor Ts. Dr. Ali Selamat, menekankan kepentingan mewujudkan ekosistem sokongan yang kukuh di sebalik pencapaian akademik pelajar bagi memastikan pendidikan tinggi kekal inklusif.

“Kami menyediakan lebih kurang 1,000 biasiswa setiap tahun kepada pelajar, termasuk pelbagai bantuan sokongan lain,” ujar beliau ketika berkongsi dalam podcast In Conversation episod ke-21 yang bersiaran hari ini.

Gambar 1: Profesor Ts. Dr. Ali Selamat, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UTM dalam sesi Podcast in Conversation: Disebalik Kejayaan Mahasiswa: Akses, Sokongan dan Peluang.

Inisiatif Biasiswa Endowmen UTM ini merupakan sebahagian daripada komitmen universiti dalam membantu pelajar daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi untuk mencapai kecemerlangan tanpa terbeban dengan kekangan kewangan.

Sehingga Jun 2026, sebanyak 1,000 Biasiswa Endowmen UTM telah ditawarkan kepada pelajar yang layak dengan nilai keseluruhan berjumlah RM4.05 juta.

Selain bantuan biasiswa, pihak universiti juga proaktif menguruskan seramai 10,024 pelajar berpenaja bagi memastikan kelangsungan pengajian mereka terjamin melalui penyelarasan bersama agensi penaja.

Bagi menangani isu kos sara hidup, UTM turut memperkenalkan inisiatif Dapur Siswa MADANI@UTM yang telah memberi manfaat kepada kira-kira 2,500 orang pelajar sejak 20 April lalu.

Usaha ini turut disokong oleh rakan industri melalui Program Santuni Pelajar McDonald’s-UTM 2026 yang telah mengagihkan 2,400 set Nasi McD kepada pelajar B40 yang layak.

Pada masa yang sama, peranan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTM dilihat menjadi jambatan antara keperluan pelajar dan pengurusan universiti.

“MPP sentiasa proaktif menangani kebimbangan pelajar di samping memastikan pelajar tahu saluran yang betul untuk mendapatkan bantuan jika berhadapan kesukaran,” ujar Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTM, Muhammad Irfan Firdaus Md Fauzi.

Komitmen ini selari dengan penyediaan bantuan kecemasan melalui UTMCare yang telah menyalurkan RM61,100 kepada 284 penerima sepanjang tahun 2026.

Gambar 2: Infografik inisiatif UTMCare yang memaparkan pelbagai jenis bantuan kebajikan dan zakat yang disediakan oleh UTM.

UTM turut memperkasa pelajar generasi pertama daripada keluarga B40 menerusi Program SULUNG dengan menyalurkan bantuan berjumlah RM3.88 juta kepada 973 penerima sehingga tahun ini.

Skim Perlindungan Pelajar (SPP) turut disediakan untuk kes kecemasan, menaik taraf fasiliti penginapan, serta memperkasakan pembangunan holistik melalui sokongan kaunseling dan inisiatif ‘Mental Health First Aid’.

Secara keseluruhannya, UTM akan terus memperkukuh agenda kebajikan pelajar melalui pendekatan yang inklusif bagi memastikan pelajar bukan sahaja cemerlang secara akademik, malah mampu mendepani cabaran masa depan.