Advertisement

PITCH@USM 2026 Memperkasa Usahawan Baharu Melalui Inovasi dan Pembangunan Kapasiti

Teks: Puan Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi, Pusat Inovasi dan Perundingan (CIC) dan

Profesor Madya Dr. Daisy Kee Mui Hung, Pengerusi PITCH@USM 2026

Foto: Unit Media dan Penerbitan BHEPA

PULAU PINANG, 29 Oktober 2026 – Universiti Sains Malaysia terus memperkukuh ekosistem keusahawanannya menerusi PITCH@USM 2026, pertandingan pembentangan idea tahunan berprestij hasil kolaborasi Sektor Keusahawanan & Inovasi, Pusat Pembangunan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM bagi menyediakan platform untuk mengetengahkan idea, meneroka peluang perniagaan serta membangunkan penyelesaian berpotensi memberi manfaat kepada masyarakat.

Bertemakan ‘Innovate. Inspire. Impact.’, program pada tahun ini menekankan kepentingan merealisasikan idea melalui galakan kepada peserta untuk berfikir secara kreatif, menjelaskan kelebihan idea dengan berkesan serta meneroka potensi konsep yang dibangunkan di luar persekitaran universiti.

Menarik pada edisi 2026, program ini telah menerima 75 penyertaan daripada tiga kategori, iaitu Prasiswazah, Pascasiswazah dan Staf, melibatkan peserta dari Kampus Induk USM, Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin dan Kampus Kesihatan.

Pertandingan Akhir berlangsung di The Nest dan Bilik Perbincangan, Pejabat Pentadbiran BHEPA, menghimpunkan para finalis, mentor, panel juri serta warga universiti bagi meraikan idea dan usaha yang diketengahkan melalui projek masing-masing.

Habibah A. Wahab (tengah) bersama barisan panel juri yang terdiri daripada pemimpin industri dan pakar akademik.

Dalam ucapan alu-aluannya, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dr. Habibah A. Wahab, berkata bahawa program ini bukan sahaja meraikan idea yang diketengahkan oleh para finalis, malah menghargai kesungguhan, kreativiti dan usaha gigih yang membawa mereka hingga ke peringkat akhir.

“Inisiatif seperti ini penting dalam membentuk pemikiran yang melangkaui pengetahuan akademik, di samping menggalakkan pelajar dan staf mengenal pasti peluang, menangani cabaran serta meneroka cara untuk membangunkan idea mereka menjadi penyelesaian praktikal yang memberikan manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PITCH@USM 2026, Profesor Madya Dr. Daisy Kee Mui Hung, berkata bahawa program tersebut bukan sekadar pertandingan, sebaliknya memberikan penekanan kepada pembangunan keupayaan peserta melalui peluang untuk mengembangkan idea, memperkukuh kemahiran komunikasi dan membina keyakinan diri.

Turut hadir ialah Pengarah Pusat Inovasi dan Perundingan USM merangkap Penasihat PITCH@USM 2026, Profesor Dr. Mohd Hazwan Hussin serta barisan panel juri yang terdiri daripada pemimpin industri dan pakar akademik.

Total Views: 4