Oleh : Dr. Farah Atiqah
Pengusaha hotel Jarod Chia memanfaatkan penyelidikan pascasiswazahnya untuk membantu memperkemas perancangan pembangunan ahli dan transformasi digital Persatuan Hotel Bajet dan Perniagaan Malaysia (MyBHA). Penyelidikan beliau di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meneliti satu isu praktikal industri: bagaimana pengusaha hotel boleh membina keupayaan dan hubungan yang diperlukan agar digitalisasi dapat menyokong daya saing mereka.
Chia Lik Ming, atau lebih dikenali sebagai Jarod Chia, merupakan Timbalan Presiden Kebangsaan MyBHA. Beliau juga memegang jawatan Pengerusi Biro Latihan dan Pendidikan Kebangsaan serta Pengerusi MyBHA Negeri Johor. Atas kapasitinya sebagai Pengarah Lavender Inn (M) Sdn. Bhd., beliau membawa pengalaman luas dalam operasi perhotelan untuk disumbangkan kepada pembangunan industri.
Pengalaman akademik dan profesional beliau dizahirkan menerusi pelan strategik kebangsaan persatuan tersebut, MYBHA RISE, yang mana beliau merupakan pengarang utamanya pada tahun 2024. Pelan ini menjadi platform terbaik untuk beliau mengaplikasikan dapatan kajian pascasiswazah ke dalam pembangunan industri secara nyata.
Di bawah bimbingan Minda Pengajar Pengerusi, Prof. Madya Dr. Thoo Ai Chin dari Fakulti Pengurusan UTM, penyelidikan Ijazah Sarjana Falsafah (MPhil) beliau meneliti peranan minda keusahawanan, keupayaan absorptif (absorptive capacity), sokongan kerajaan, dan jalinan rangkaian terhadap digitalisasi serta daya saing hotel bajet di Malaysia.
Keupayaan absorptif merujuk kepada kebolehan mengumpul dan mengaplikasikan pengetahuan baharu. Menganalisis elemen ini bersama pemikiran keusahawanan dan sokongan luar memberi Jarod pendekatan yang lebih sistematik dalam menangani cabaran industri. Beliau menjelaskan bahawa proses tersebut memperdalam kefahamannya mengenai inovasi perkhidmatan serta kepentingan membantu pengusaha mengembangkan keupayaan memanfaatkan ilmu yang dipelajari.
RISE merujuk kepada Rebrand (Penjenamaan Semula), Improve (Penambahbaikan), Strengthen (Pengukuhan), dan Education (Pendidikan). Kerangka ini meletakkan empat elemen utama tersebut sebagai teras pembangunan persatuan dan para ahlinya. Jarod menyatakan bahawa kajian tesis beliau memperkukuh pemahamannya tentang faktor yang mendorong pengusaha hotel menerima guna digitalisasi dan meningkatkan daya saing. Pengetahuan ini memberikan asas yang lebih mantap untuk menilai dan memperkemas pelan MYBHA RISE berteraskan bukti penyelidikan serta keperluan sebenar industri.
Beliau mengenalpasti bidang pembangunan ahli, latihan, dan transformasi digital sebagai aspek di mana ulasan literatur serta dapatan kajiannya telah membantu merangka cadangan yang lebih sasar. Beliau berharap pandangan ini dapat memandu program-program persatuan pada masa hadapan.
“Bagi saya, kejayaan yang bermakna adalah apabila pengetahuan yang diperoleh melalui penyelidikan dapat memandu tindakan nyata dan memberi manfaat kepada industri,” katanya.
Penekanan terhadap bukti ini turut membimbing pendekatan beliau dalam membuat keputusan perniagaan harian. Jarod menjadikan kadar penginapan, hasil jualan, dan perubahan permintaan pelanggan sebagai data penting untuk merangka strategi hotel. Beliau menambah bahawa pengajiannya telah meningkatkan kemahiran mengumpul data secara sistematik, menilai kebolehpercayaan maklumat, dan menganalisis sesuatu isu secara mendalam sebelum membuat keputusan.
Amalan ini dibawa ke dalam tanggungjawabnya di persatuan. Semabila membentangkan isu industri kepada pihak berkepentingan, beliau menggunakan fakta dan angka untuk menjelaskan situasi sebenar pengusaha serta menyokong cadangan yang dikemukakan. Beliau turut menghargai penyelia akademiknya yang sentiasa menegaskan kepentingan bukti dan kebertanggungjawaban dalam membuat keputusan yang memberi kesan kepada pekerja dan ahli persatuan.
“Saya belajar membezakan antara andaian dan bukti, mengakui keterbatasan dapatan kajian, serta menerima pandangan yang berbeza sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya.
Kerjasama antara beliau dan pihak universiti telah bermula sebelum beliau mendaftar pengajian pascasiswazah. Sesi temubual penyelidikan bersama Prof. Madya Dr. Thoo pada Mac 2023 telah membuka peluang untuk beliau berkongsi pengalaman industri bersama warga UTM. Hubungan ini terus berkembang melalui jemputan pengajaran, projek pelajar, serta kerjasama strategik antara UTM dan MyBHA.
Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada Mac 2024 merangkumi latihan industri, peluang pekerjaan, penyelidikan bersama, dan pembangunan bakat. Seterusnya pada Julai tahun yang sama, Makmal Satelit penyelidikan perhotelan telah dilancarkan di Lavender Inn Nusa Bestari, sekali gus menyediakan fasiliti untuk penyelidik dan pelajar UTM bekerjasama secara terus dengan pengamal industri bagi menangani cabaran semasa.

Kerjasama strategik Jarod bersama UTM mendapat pengiktirafan pada 24 September 2024 apabila pasukan yang dianggotai beliau, Prof. Madya Dr. Thoo Ai Chin, dan ahli kumpulan yang lain meraih Pingat Emas dalam pertandingan Government–University–Community–Industry (GUCI). Pertandingan yang dianjurkan oleh UTM, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), dan Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) itu mempamerkan projek kerjasama yang menyokong pembangunan mampan. Bagi Jarod, anugerah tersebut mengukuhkan kepercayaannya terhadap nilai penggabungan tenaga antara kerajaan, universiti, komuniti, dan industri demi manfaat bersama.

Teras kerjasama beliau dengan ahli akademik universiti turut merangkumi pendidikan kelestarian. Pada 1 Mei 2025, beliau menyokong Dr. Adaviah Mas’od dari Fakulti Pengurusan dalam program “TRASHformers 2025: From Waste to Wonder” di bawah inisiatif CEPA 3.0. Program tersebut berfokus pada pendidikan dan kesedaran masyarakat mengenai pengurusan sisa serta penciptaan nilai daripada bahan terbuang.
Jarod berharap dapat terus memperkukuh kerjasama dengan UTM serta memanfaatkan dapatan tesisnya untuk menentukan keutamaan pembangunan dan latihan MyBHA. Bagi pelan MYBHA RISE, cita-cita beliau adalah untuk menterjemahkan kefahaman tersebut kepada program praktikal yang membantu pengusaha menguasai digitalisasi dan membina perniagaan yang berdaya saing. Matlamat utama yang dicari beliau adalah nilai praktikal: penyelidikan yang dapat memandu sokongan berterusan kepada pengusaha hotel bajet di Malaysia.
Artikel ini diterbitkan pertama kali di UTM NewsHub.












