UUM ONLINE: Seramai 15 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) termasuk dua pelajar dari Indonesia telah menyertai Program Beyond Borders UUM X Fatoni University 2026 yang berlangsung selama 14 hari bermula 14 hingga 27 Jun 2026 di Fatoni University, Pattani, Thailand.
Program anjuran Biro Integrasi Komuniti dan Antarabangsa, Inapan Siswa (Inasis) SME Bank dengan kerjasama Fatoni University ini bertujuan memperkukuhkan hubungan kerjasama akademik antara kedua-dua institusi, di samping meningkatkan kefahaman rentas budaya, mengembangkan perspektif global serta memupuk kemahiran komunikasi, kepimpinan dan kerjasama dalam kalangan pelajar.

Pengarah Program, Muhammad Fairuz Ikmal Mahadi berkata, sepanjang program berlangsung, peserta telah mengikuti pelbagai pengisian akademik, kebudayaan dan pembangunan diri yang memberi pendedahan kepada sistem pendidikan, budaya serta kehidupan masyarakat di Thailand.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk sesi pertukaran budaya, pembentangan akademik, lawatan kampus, aktiviti bersama pelajar Fatoni University, program khidmat komuniti, aktiviti pembangunan kepimpinan serta lawatan ke beberapa lokasi bersejarah dan tarikan budaya di sekitar Pattani.

Program ini turut menjadi platform bagi mengeratkan hubungan persahabatan dan memperkukuhkan jaringan kerjasama antara pelajar UUM, Indonesia dan warga Fatoni University melalui perkongsian ilmu, pengalaman serta pertukaran budaya yang memberi manfaat kepada semua peserta.
Melalui penyertaan dalam program ini, pelajar berpeluang meningkatkan kemahiran insaniah seperti komunikasi antara budaya, kebolehsuaian, pemikiran kritis, kepimpinan serta kerja berpasukan yang amat penting dalam menghadapi cabaran dunia global.
Pengalaman pembelajaran di peringkat antarabangsa ini juga membantu melahirkan graduan yang lebih berdaya saing dan berfikiran global.
Program Beyond Borders UUM X Fatoni University 2026 diharap dapat terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan UUM serta memperluaskan jaringan kerjasama strategik dengan Fatoni University dalam usaha melahirkan graduan yang berkualiti, berwawasan global dan mampu menjadi duta kecil universiti di persada antarabangsa.
Berita oleh: Muhammad Fairuz Ikmal Mahadi
Gambar oleh: JKPS INASIS SME BANK












