Oleh: Prof Madya Ir. Ts. Dr. Norashidah binti Abd Rahman
TAIPEI, 7 Nov. – Empat pelajar tahun empat daripada Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), berjaya meraih Quake Resistant Certificate ketika menyertai pertandingan Introducing and Demonstrating Earthquake Engineering Research in Schools (IDEERS) 2026 yang berlangsung dari 5 hingga 7 November 2026 di National Center for Research on Earthquake Engineering (NCREE), Taipei, Taiwan.
Kumpulan pelajar tersebut berjaya menempatkan diri di kedudukan ke-26 daripada 40 kumpulan yang mengambil bahagian dalam IDEERS 2026. Mereka terdiri daripada Bernard Tay Kar Leong, Lye Jun Yew, Harry Daniel Tibin dan Muhammad Aiman Nasrudin, di bawah bimbingan Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Norashidah Abd. Rahman.
IDEERS 2026 bertujuan untuk memberi inspirasi kepada kreativiti serta memupuk pengetahuan dalam bidang kejuruteraan gempa bumi dan perlindungan seismik. Melalui pertandingan ini, para peserta didedahkan kepada pelbagai bentuk struktur yang inovatif dan kreatif, di samping berpeluang bertukar pandangan serta idea dengan pelajar dari pelbagai negara.
Menurut ketua kumpulan, Bernard Tay Kar Leong, penyertaan dalam IDEERS 2026 memberikan pengalaman yang amat berharga kepada mereka, khususnya dalam memperluaskan pengetahuan serta membuka perspektif baharu berkaitan reka bentuk struktur bangunan yang tahan terhadap gempa bumi.

“Pertandingan ini memberi kami peluang untuk memahami dengan lebih mendalam konsep kejuruteraan gempa bumi serta mengaplikasikan teori yang dipelajari dalam situasi sebenar. Pengalaman ini pastinya menjadi nilai tambah apabila kami melangkah ke alam industri kelak,” katanya.
Selain Malaysia, pertandingan tersebut turut disertai oleh pasukan dari Filipina, Indonesia, Korea Selatan, Taiwan, Thailand, Singapura, Vietnam dan Australia.
Penyertaan dalam IDEERS 2026 bukan sahaja meningkatkan pengetahuan teknikal pelajar dalam bidang kejuruteraan gempa bumi, malah memperkukuh kemahiran kerja berpasukan, penyelesaian masalah dan komunikasi rentas budaya melalui interaksi dengan peserta antarabangsa.













