Oleh: Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah & Mohd Khairul Effendi Che Wan
KUALA LUMPUR, 22 Ogos 2026 — Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus mencipta kecemerlangan di pentas inovasi kejuruteraan apabila pasukan mahasiswa ReNova berjaya merangkul juara kategori Ijazah Teknologi Kejuruteraan – Sydney Accord pada BEM Young Engineering Innovation Trophy 2026 (BEMYEIT 2026).
Kejayaan menerusi projek ReNova: Advancing Circular Construction Through Geopolymer-Enhanced Recycled Materials itu membuktikan keupayaan mahasiswa UniMAP menghasilkan inovasi berteraskan teknologi dan kelestarian yang berpotensi menjadi penyelesaian kepada cabaran sebenar, khususnya dalam sektor pembinaan.
Pasukan ReNova dianggotai tiga mahasiswa Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam (FKTA), iaitu Rishitaran A/L Pannir Selvam, Thaneswari A/P Loganathan dan Nur Athirah Alias, di bawah seliaan Prof. Madya Dr. Rafiza Abdul Razak.

Projek tersebut mengetengahkan penggunaan bahan binaan kitar semula yang dipertingkatkan melalui teknologi geopolymer sebagai alternatif lebih lestari, selari dengan usaha mengurangkan sisa pembinaan dan menggalakkan penggunaan sumber secara lebih cekap.
Dalam pertandingan sama, UniMAP turut menerima Consolation Prize bernilai RM500 bagi kategori Ijazah Teknologi Kejuruteraan – Sydney Accord menerusi projek Design and Feasibility Study of Flexible Solar Panels for Electric Vehicles Roof Integration.
Projek yang dihasilkan oleh Mohammad Iqbal Amir bin Hakhiruzzaman dari Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektrik (FKTE) di bawah seliaan Dr. Liew Hui Fang itu mengkaji reka bentuk dan kebolehlaksanaan panel solar fleksibel yang diintegrasikan pada bumbung kenderaan elektrik.

BEMYEIT 2026 anjuran Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) menghimpunkan bakat muda kejuruteraan daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta seluruh negara, dengan sebanyak 29 projek inovasi dipamerkan melibatkan bidang seperti kecerdasan buatan (AI), bahan kitar semula dan tenaga boleh baharu.
Pertandingan tersebut menawarkan tiga kategori utama, iaitu Ijazah Kejuruteraan – Washington Accord, Ijazah Teknologi Kejuruteraan – Sydney Accord dan Diploma Kejuruteraan/Teknologi Kejuruteraan – Dublin Accord.
BEMYEIT 2026 berlangsung sempena National Engineering Convention 2026 (NEC2026) dari 17 hingga 20 Ogos 2026 di Royale Chulan Kuala Lumpur, bertemakan “Engineering with Integrity in the Digital Age”.

Pencapaian dua projek UniMAP ini memperlihatkan komitmen universiti dalam memperkukuh budaya inovasi, penyelidikan dan pembangunan teknologi dalam kalangan mahasiswa, di samping membentuk bakat kejuruteraan yang kreatif, berdaya saing dan responsif terhadap keperluan industri.
Kejayaan tersebut turut membuktikan bahawa inovasi mahasiswa UniMAP bukan sekadar idea di bilik kuliah, sebaliknya mampu diketengahkan ke peringkat kebangsaan dan berpotensi diterjemahkan kepada penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat serta industri.
UniMAP merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada pasukan ReNova, Mohammad Iqbal Amir bin Hakhiruzzaman, para penyelia serta seluruh warga FKTA dan FKTE atas pencapaian membanggakan dalam BEMYEIT 2026.












