Advertisement

Kebajikan & Kesejahteraan Pelajar USM Diperkasa, Pastikan Tiada Mahasiswa Tercicir

Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA

PULAU PINANG, 23 Ogos 2026 – Universiti Sains Malaysia terus memperkukuh ekosistem kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa secara menyeluruh. Pendekatan ini merangkumi sokongan kewangan, keperluan asas, kesihatan, pembelajaran, dan kehidupan kampus bagi memastikan penuntut dapat menjalani pengajian dalam suasana kondusif tanpa dibebani cabaran hidup.

Seiring dengan matlamat tersebut, Unit Kebajikan, Pinjaman, Biasiswa & Anugerah – OKU & Siswa Sulung, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni (BHEPA) USM, memperluas akses kepada bantuan kewangan dan kebajikan. Antara inisiatif utama ialah Program Siswa Sulung yang telah memanfaatkan 1,034 pelajar setakat ini.

Usaha ini turut diperkukuh oleh Pusat Pembangunan Alumni BHEPA menerusi pelbagai siri dermasiswa. Sumbangan berterusan daripada para dermawan sentiasa diperhebat dari semasa ke semasa demi menjaga kebajikan pelajar.

Selain biasiswa dan dermasiswa, Pusat Zakat, Wakaf dan Infaq (ZAWAIN) menerusi kolaborasi strategik bersama BHEPA turut mengagihkan bantuan bersasar kepada pelajar kategori asnaf mengikut keperluan serta kelayakan.

Bagi meringankan beban harian, inisiatif sokongan makanan seperti Menu Kasih Siswa dan Dapur Siswa MADANI yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi terus diperkasa. Inisiatif ini kini diperluaskan di semua sembilan desasiswa merentasi tiga kampus utama USM.

Kemudahan makanan yang murah dan berkhasiat ini membantu mengurangkan tekanan perbelanjaan harian sekali gus membolehkan penuntut menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pengajian.

Tidak tertumpu pada keperluan asas sahaja, kesejahteraan mental dan psikologi mahasiswa turut menjadi keutamaan. Unit Kaunseling BHEPA aktif menganjurkan siri siniar (podcast) mengenai hal ehwal kehidupan semasa pelajar, di samping menyediakan sesi kaunseling individu, kelompok, serta aktiviti bimbingan yang bersesuaian.

Dalam pada itu, inisiatif Buddies OKU atau PALs for Leadership Development and Self Discovery (anjuran unit yang sama) menyaksikan pelantikan seramai 22 mahasiswa sebagai ahli PALs. Program ini membantu mahasiswa Orang Kurang Upaya (OKU) mendapatkan bimbingan dan penyesuaian yang tepat agar mereka dapat menjalani kehidupan kampus secara inklusif dan yakin.

Melengkapkan jaringan sokongan tersebut, USM menyediakan pelbagai fasiliti yang menyokong keperluan akademik, fizikal, dan sosial mahasiswa. Persekitaran kampus yang kondusif ini direka khas untuk merangsang pembelajaran, pembangunan diri, serta pembentukan kehidupan mahasiswa yang seimbang.

Kesinambungan pelbagai inisiatif ini membuktikan komitmen berterusan USM dalam membina ekosistem mahasiswa yang prihatin, inklusif, dan berdaya tahan. Setiap bentuk sokongan yang disediakan saling melengkapi bagi memastikan kebajikan warga kampus terus terpelihara, sekali gus mendorong mereka melangkah lebih jauh dalam mencapai kecemerlangan akademik dan pembangunan peribadi.

Menerusi kerangka USM Prihatin, aspek kebajikan pelajar diletakkan sebagai keutamaan strategik bagi memastikan setiap penuntut dapat menimba ilmu dalam persekitaran yang kondusif, selamat, dan bebas daripada tekanan luar jangka, khususnya berkaitan isu sosioekonomi.

Untuk lebih banyak berita, ikuti kami di https://hepa.usm.my/