Advertisement

Pelajar Sains Kemasyarakatan Asah Ketajaman Analisis Pengurusan Kewangan di RHB Summer Internship 2026

Oleh : Ow Hooi Ying, pelajar tahun akhir Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan

Ow Hooi Ying (tiga dari kanan) bergambar bersama setelah pasukannya berjaya meraih tempat ketiga dalam RHB Summer Internship Business Challenge 2026

PULAU PINANG, 1 September 2026 :- Kreativiti dan ketajaman analisis strategik pelajar Universiti Sains Malaysia terus memartabatkan nama universiti di peringkat korporat apabila Ow Hooi Ying, pelajar tahun akhir Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, bersama pasukannya berjaya meraih tempat ketiga dalam RHB Summer Internship Business Challenge 2026.

Kemenangan itu sekali gus membolehkan mereka membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai RM1,000 pada majlis penutup yang diumumkan sempena RHB Summer Internship Graduation Day di Menara RHB.

Pasukan berkenaan mengetepikan saingan sengit daripada 22 kumpulan lain yang menghimpunkan 63 pelatih elit sepanjang program latihan industri dua bulan bermula 1 Julai hingga 28 Ogos 2026. Kejayaan itu turut digalas bersama tiga ahli pasukan dari universiti berprestij lain, iaitu Chin Ee Syuen (University of Bristol), Mariam Najihah Mohammad Hanis (The University of Manchester), dan Hayden Chew (University of York).

Menyahut cabaran transformasi digital masa depan, Ow yang ditempatkan di bawah jabatan Group Strategy & Innovation bersama pasukannya dipertanggungjawabkan merangka strategi bertemakan “The Next 10 Million Malaysians: Designing RHB’s Gen Z Banking Proposition.”

Berdasarkan kajian pasaran dan tinjauan dalam kalangan Generasi Z, pasukan tersebut mengenal pasti keperluan mendesak golongan muda terhadap sokongan pengurusan kewangan yang lebih efektif.

Hasil dapatan itu diterjemahkan kepada cadangan tiga ciri baharu dalam aplikasi perbankan RHB berteraskan konsep “Know, Manage and Save”, iaitu Financial Calendar untuk membantu pengguna merancang komitmen kewangan, Smart Budget bagi menguruskan perbelanjaan harian dan Treasure Jars 2.0 untuk membantu pengguna mencapai matlamat simpanan.

Cadangan inovatif itu turut mengambil kira potensi RHB dalam memperkukuh penglibatan pelanggan muda menerusi ekosistem RHB MySiswa, bagi menawarkan pengalaman perbankan yang lebih relevan.

Meskipun tiada berlatarbelakangkan bidang sains komputer, kesungguhan pasukan mereka wajar dipuji kerana komitmen mereka dalam menyiapkan kajian pasaran, analisis kewangan, dan pembangunan prototaip menggunakan perisian Figma dalam tempoh enam minggu persediaan.

Mengulas mengenai pencapaian itu, Ow berkata pengalaman tersebut memberi perspektif baharu bahawa sesuatu idea perniagaan bukan sekadar menuntut kreativiti, malah perlu menghasilkan impak yang jelas kepada organisasi dan masyarakat.

“Sepanjang cabaran ini, saya belajar bahawa impak merupakan antara aspek yang sangat penting. Kita bukan sahaja perlu menghasilkan idea yang baik, tetapi juga perlu memahami bagaimana penyelesaian tersebut mampu memberikan nilai tambah kepada syarikat atau masyarakat,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan RHB yang sentiasa meluangkan masa membimbing, memperhalusi idea, serta berkongsi pengalaman kerjaya yang memberi gambaran jelas mengenai masa depan alam pekerjaan.

Untuk lebih banyak berita, ikuti kami di https://hepa.usm.my/