Advertisement

Muhammad Al-Afrin Sumbang Emas Pertama UMT di SUKIPT 2026

KUALA LUMPUR, 1 Sept – Kontinjen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) membuka tirai penyertaan pada Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 dengan meraih pingat emas pertama menerusi acara Taekwondo Kyorugi kategori bawah 54 kilogram (<54kg) di Universiti Malaya, hari ini.

Pingat emas itu disumbangkan atlet UMT, Muhammad Al-Afrin Mohd Rosli dari Pusat Asasi STEM (PASTEM), yang berjaya menampilkan prestasi cemerlang dalam saingan berkenaan.

Kejayaan tersebut turut mengharumkan nama UMT serta membuktikan komitmen dan disiplin tinggi atlet dalam menghadapi persaingan di peringkat institusi pendidikan tinggi.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Profesor Dr Mohd Izani Mohd Zain, menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian berkenaan yang disifatkan sebagai suntikan semangat kepada seluruh kontinjen universiti untuk meneruskan perjuangan pada SUKIPT 2026.

Beliau berharap kejayaan awal itu dapat meningkatkan motivasi para atlet UMT untuk memberikan aksi terbaik dalam acara yang masih dipertandingkan.

UMT dijangka meneruskan saingan dalam beberapa acara lain dalam usaha menambah koleksi pingat dan memperkukuh pencapaian kontinjen universiti pada SUKIPT 2026.