Oleh: Za Zeyriqa Joji, Pusat Khidmat Pelajar
Kota Samarahan, 23 April 2026 – Dalam suasana penuh makna dan harapan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah menganjurkan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Program Pembangunan Siswa Sulung 4.0 bagi sesi akademik 2025/2026. Majlis ini menjadi simbol permulaan perjalanan baharu buat 52 pelajar yang terpilih, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memperluas akses pendidikan tinggi kepada golongan yang memerlukan.

Gambar 1: Ucapan YBhg. Prof. Ir Ts Dr Al Khalid bin Hj Othman, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNCHEPA)
Majlis ini telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Ir Ts Dr Al Khalid bin Hj Othman, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNCHEPA), bersama YBrs. Prof. Dr Fitri Suraya binti Mohamad Hapni Joblie, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (TNCAA).
Turut hadir memeriahkan majlis ialah para Pengarah HEPA, dekan-dekan, timbalan dekan serta wakil-wakil fakulti, yang bersama-sama menyaksikan detik bermakna ini.
Program Pembangunan Siswa Sulung merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi yang memberi fokus kepada anak sulung daripada keluarga B40. Program ini bukan sahaja membuka pintu kepada peluang pendidikan tinggi, malah berperanan sebagai pemangkin mobiliti sosial dengan memastikan tiada pelajar yang tercicir akibat kekangan kewangan.
Melalui pendekatan yang inklusif, program ini memberi harapan baharu kepada pelajar untuk mengubah masa depan diri dan keluarga mereka.
Sejak diperkenalkan, program ini telah memberi impak yang signifikan di UNIMAS. Seramai 149 pelajar telah menyertai program ini, dengan 113 daripadanya berjaya menamatkan pengajian dan diraikan dalam Konvokesyen UNIMAS ke-28 dan ke-29.
“Pencapaian ini membuktikan keberkesanan program dalam melahirkan graduan yang berdaya saing dan berpotensi tinggi,” ucapan YBhg Prof TNC HEPA

Gambar 2: Pelajar-pelajar Program Sulung
Bagi sesi kali ini, seramai 52 pelajar baharu telah diterima ke dalam program ini menjadikan jumlah keseluruhan pelajar Program Sulung seramai 201 orang.
Lebih membanggakan, jumlah keseluruhan pengurangan yuran bagi Program Sulung kini mencecah RM424,503.33, dengan setiap pelajar menikmati pengecualian penuh yuran pengajian.
Inisiatif ini bukan sahaja meringankan beban kewangan, malah membolehkan pelajar memberi tumpuan sepenuhnya kepada kecemerlangan akademik dan pembangunan diri.
Selaras dengan Pelan Strategik UNIMAS 2026–2030 berteraskan IDEA, universiti terus komited dalam memperkasa pendidikan inklusif serta melahirkan graduan yang holistik, berdaya tahan dan mampu bersaing di peringkat global.
Semoga semua pelajar Program Pembangunan Siswa Sulung 4.0 terus melakar kejayaan, memanfaatkan peluang yang diberikan, dan seterusnya menjadi agen perubahan yang memberi impak positif kepada keluarga, masyarakat dan negara.












