BANGI, 29 OKTOBER 2026 – Jawatankuasa Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (JPMPP) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Majlis Pengumuman Keputusan Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2026/2027 bertempat di Dewan Tun Abdullah Mohd. Salleh (DTAMS), UKM, pada hari ini.
Majlis disempurnakan oleh Yang Berbahagia Prof. Ts. Dr. Hj. Norinsan Kamil Othman, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM.

Turut hadir ialah Yang Berusaha Encik Aizam Abu Bakar, Ketua Hal Ehwal Pelajar dan Alumni; Yang Berusaha Prof. Madya Ts. ChM. Dr. Dafizzi Derawi, Pengarah Pusat Hal Ehwal Pelajar; Yang Berusaha Dr. Munira Ismail, Timbalan Pengarah Strategik, Data dan Jaringan, Pusat Hal Ehwal Pelajar; Yang Berusaha Dr. Murni Nazira Sarian, Timbalan Pengarah Pembangunan Kepimpinan dan Operasi Pelajar; serta Saudara Muhammad Danial Haziq Mohd Jasnee, Pengerusi JPMPP Sesi 2026/2027.
Hadir sama ialah barisan dekan fakulti, pengarah institut dan pusat perkhidmatan, pengetua kolej kediaman serta calon-calon Pemilihan MPP UKM Sesi 2026/2027.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh mahasiswa UKM yang telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi serta mengucapkan tahniah kepada semua calon yang bertanding. Pemilihan MPP bukan sekadar proses memilih wakil pelajar, malah menjadi wadah untuk menyemarakkan amalan demokrasi di universiti, di samping memberikan mandat kepada mahasiswa untuk mengangkat suara dan memperjuangkan kepentingan serta kebajikan warga pelajar.
Penghargaan turut diberikan kepada JPMPP Sesi 2026/2027 atas komitmen, usaha dan dedikasi dalam merancang serta mengendalikan proses pemilihan dengan jayanya, bermula daripada proses penamaan calon sehingga selesai pengundian. Kejayaan pelaksanaan pemilihan ini mencerminkan kerjasama erat dan komitmen semua pihak yang terlibat dalam memastikan kelancaran proses demokrasi kampus.
Pemilihan pada sesi ini diteruskan melalui kaedah pengundian secara dalam talian bagi memudahkan mahasiswa menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi, sekali gus menggalakkan penyertaan yang lebih menyeluruh dalam proses demokrasi kampus.
Barisan kepimpinan mahasiswa yang terpilih diingatkan agar menggalas amanah dengan penuh integriti, keikhlasan dan tanggungjawab, sentiasa mendengar suara mahasiswa serta menterjemahkan manifesto kepada tindakan yang memberikan impak bermakna. Bagi calon yang tidak terpilih, teruskan berbakti dan menyumbang kepada komuniti universiti kerana kepimpinan sebenar tidak hanya bergantung pada jawatan, tetapi bermula dengan keikhlasan untuk berkhidmat.
Semoga barisan Kesatuan Mahasiswa UKM Sesi 2026/2027 dapat melaksanakan amanah dengan cemerlang, memperjuangkan kebajikan mahasiswa dan bersama-sama menyumbang ke arah pembangunan serta kegemilangan UKM.






Calon-calon semasa pengumuman keputusan pemilihan raya kampus.













