Advertisement

Mahasiswa perlu berminda global, rebut peluang kerjaya bersama industri antarabangsa

Oleh: Dr. Nor Kamariah binti Kamaruddin

BATU PAHAT, 28 Oktober 2026 – Mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) perlu berfikiran global, berani merebut peluang dan melengkapkan diri dengan kompetensi profesional bagi membolehkan mereka bersaing dalam pasaran kerja antarabangsa yang semakin mencabar.

Keupayaan menguasai ilmu akademik semata-mata tidak lagi memadai, sebaliknya graduan perlu memiliki pemikiran kritis, kemahiran menyelesaikan masalah, kreativiti, daya tahan serta kebolehan menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran pekerjaan dan kepelbagaian budaya.

Sehubungan itu, program DHL APSSC Finance Challenge 2026 – Internship Placement Opportunity with DHL APSSC telah diadakan melalui inisiatif Dr. Nor Kamariah binti Kamaruddin, pensyarah di Jabatan Pengurusan dan Teknologi, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), menjadi platform penting untuk menghubungkan pembelajaran akademik dengan keperluan sebenar industri.

Program yang berlangsung di Dewan Kuliah 2, Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA), UTHM, di sini, membuka ruang kepada mahasiswa untuk berinteraksi secara langsung dengan wakil DHL Asia Pacific Shared Services Sdn. Bhd. (DHL APSSC), selain memperoleh pendedahan mengenai peluang latihan industri, proses pemilihan calon dan amalan profesional dalam organisasi yang mempunyai jaringan antarabangsa.

Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) FPTP, Dr. Anim Zalina binti Azizan, berkata kerjasama antara universiti dengan industri perlu terus diperkukuh bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki keyakinan, kematangan dan kesediaan menghadapi tuntutan dunia pekerjaan.

Menurutnya, pendedahan kepada organisasi bertaraf antarabangsa membolehkan mahasiswa memahami jangkaan majikan, budaya kerja profesional dan kepentingan membangunkan kemahiran yang relevan dengan perubahan industri global.

Beliau berkata, mahasiswa perlu melihat program seumpama itu bukan sekadar pertandingan, sebaliknya peluang untuk menyerlahkan potensi, menguji kebolehan diri, membina jaringan profesional dan merancang laluan kerjaya sejak di bangku universiti.

Antara nilai tambah utama program itu ialah pendedahan kepada peluang penempatan latihan industri DHL APSSC bagi tahun 2027, termasuk penerangan berkaitan kelayakan, kriteria pemilihan dan proses permohonan. Pendedahan tersebut membolehkan mahasiswa membuat persediaan lebih awal untuk bersaing mendapatkan tempat dalam organisasi berorientasikan antarabangsa.

Pengalaman menjalani latihan industri dalam persekitaran sedemikian berpotensi menjadi batu loncatan kepada pembinaan kerjaya yang lebih luas. Selain memahami amalan kerja profesional, mahasiswa dapat membina kredibiliti, memperkukuh kemahiran komunikasi dan mengembangkan jaringan industri yang boleh membantu mereka meneroka peluang pekerjaan pada masa hadapan, tertakluk kepada kelayakan dan keperluan majikan.

Program itu turut memberi peluang kepada mahasiswa mengaplikasikan pengetahuan kewangan dan pengurusan melalui kajian kes industri yang memerlukan analisis, pemikiran kritis, kerja berpasukan serta penghasilan cadangan penyelesaian yang praktikal. Pendekatan berasaskan situasi sebenar ini penting bagi membina keyakinan mahasiswa untuk menangani cabaran perniagaan secara sistematik dan profesional.

Dalam pada itu, penceramah DHL APSSC iaitu Encik Hakimi Sakri yang merupakan Manager, Talent Acquisition and HR Business Partner, DHL Asia Pacific Shared Services Sdn Bhd., menegaskan bahawa mahasiswa perlu membudayakan prinsip 6R, iaitu Respectful, Responsive, Readiness, Resilient, Reflection dan Resourceful, sebagai panduan membentuk keperibadian profesional sepanjang menjalani latihan industri dan ketika melangkah ke alam pekerjaan.

Menurutnya, nilai Respectful menuntut mahasiswa menghormati penyelia, rakan sekerja dan kepelbagaian budaya, manakala Responsive menekankan kecekapan memberikan maklum balas serta bertindak terhadap tanggungjawab yang diberikan. Readiness pula merujuk kepada kesediaan menghadapi tugasan dan perubahan, sementara Resilient menggambarkan ketahanan dalam menangani tekanan, cabaran dan kegagalan.

Dua lagi nilai, iaitu Reflection dan Resourceful, menuntut mahasiswa sentiasa menilai pengalaman untuk melakukan penambahbaikan serta bijak memanfaatkan sumber, teknologi, maklumat dan jaringan profesional bagi menghasilkan penyelesaian yang berkesan. Penghayatan keenam-enam nilai tersebut mampu membentuk pekerja yang matang, berintegriti dan bersedia menghadapi persekitaran kerja yang kompetitif.

Beliau turut mengingatkan mahasiswa supaya tidak takut mencuba pendekatan baharu, mengemukakan idea kreatif dan mengambil risiko yang diperhitungkan. Kegagalan tidak seharusnya dianggap sebagai pengakhiran, sebaliknya pengalaman pembelajaran yang dapat memperkukuh daya tahan, meningkatkan keyakinan dan membina minda keusahawanan.

Program itu diharap dapat memperkukuh hubungan strategik UTHM dengan DHL APSSC dalam pembangunan bakat, perkongsian kepakaran dan pembelajaran berasaskan industri. Kerjasama seumpama itu penting untuk melahirkan graduan yang berfikiran global, inovatif, berdaya tahan dan memiliki nilai profesionalisme, sekali gus lebih bersedia menyumbang kepada organisasi serta meneroka peluang kerjaya di peringkat antarabangsa.

Total Views: 44