Oleh: Ar. Hazri bin Abdul Aziz dan Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Norashidah binti Abd Rahman
KUALA LUMPUR – Belum bergelar arkitek profesional, namun tujuh mahasiswa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) membuktikan kemampuan luar biasa apabila berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik pertandingan reka bentuk berprestij peringkat kebangsaan, sekali gus bersaing sebaris peserta yang mengikuti pengajian peringkat Sarjana Seni Bina.
Lebih membanggakan, UTHM menjadi satu-satunya institusi yang diwakili sepenuhnya mahasiswa peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam pertandingan MSSA Open Ideas Competition for Students 2026 (OIC-2026), sedangkan peserta daripada institusi pengajian tinggi lain terdiri daripada pelajar peringkat Sarjana Seni Bina.
Kejayaan itu diraih menerusi penyertaan pasukan CW-004 yang dianggotai lima mahasiswa Seni Bina dan dua mahasiswa Kejuruteraan Awam daripada Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), sekali gus membuktikan keupayaan mahasiswa prasiswazah UTHM menghasilkan idea reka bentuk yang kompetitif dan berkualiti tinggi.


Pasukan berkenaan diketuai Ivy Chung Ee Lin, bersama Hew Jia Min, Nur Qistina Batrisyia Mohd Muntazir, Chia Zhi Yan dan Siti Soffiyah Zainudin daripada program Bachelor of Science in Architecture. Turut menganggotai pasukan ialah Priyadarshini Saravanan dan Muhammad Mikhail Husin daripada program Bachelor of Civil Engineering with Honours, dengan Nur Qistina Batrisyia dan Priyadarshini bertindak sebagai pembentang.
Kejayaan tersebut dicapai selepas pasukan berkenaan mengharungi sesi pembentangan akhir pada 10 November 2026 sebelum diraikan dalam majlis penyampaian anugerah pada 11 November 2026 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
Pertandingan anjuran Persatuan Keluli Struktur Malaysia (MSSA) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) serta Persatuan Olahraga Chin Woo Selangor dan Kuala Lumpur itu mengetengahkan tema “The Continuum: Museum of the Future Malaysia – Steel Innovation for Living Legacy”.
Cabaran utama pertandingan adalah menghasilkan reka bentuk muzium ikonik bertaraf dunia yang menghubungkan warisan sejarah, pencapaian masa kini dan aspirasi masa depan negara, dengan memberi tumpuan kepada pembangunan tapak bersejarah Kompleks Chin Woo di Jalan Merdeka, dalam presint Merdeka 118, Kuala Lumpur.
Bukan sekadar mencantikkan struktur bangunan, peserta turut dicabar mengintegrasikan inovasi sistem struktur keluli bagi rentang sederhana hingga panjang, reka bentuk mampan serta penggunaan keluli sebagai bahan utama dalam aspek struktur dan seni bina. Pertandingan yang menawarkan jumlah hadiah terkumpul RM29,500 itu menyaksikan persaingan sengit antara institusi pengajian tinggi terkemuka dari seluruh negara.
Perjalanan pasukan UTHM bukanlah mudah apabila pertandingan dilaksanakan secara berfasa menerusi pendaftaran rasmi pada Julai 2026, penyerahan reka bentuk peringkat pertama pada Ogos 2026 sebelum berjaya melepasi saringan untuk ke peringkat penilaian akhir.
Lebih signifikan, mahasiswa berkenaan perlu mempertahankan idea dan konsep reka bentuk di hadapan barisan juri profesional yang terdiri daripada arkitek serta jurutera struktur berpengalaman dalam industri pembinaan Malaysia. Situasi itu menguji bukan sahaja penguasaan teknikal, malah kemahiran komunikasi, pemikiran kritis dan keupayaan mempertahankan keputusan reka bentuk secara profesional.
Kejayaan itu turut memperlihatkan kekuatan kolaborasi rentas disiplin apabila mahasiswa Seni Bina dan Kejuruteraan Awam bergabung tenaga mengintegrasikan perspektif seni bina, struktur dan kejuruteraan dalam menghasilkan cadangan reka bentuk yang lebih menyeluruh. Sinergi tersebut turut membentuk kemahiran kerja berpasukan, koordinasi dan penyelesaian masalah berasaskan keperluan sebenar industri.
Pasukan berkenaan dibimbing oleh barisan pensyarah bidang Seni Bina iaitu Ar. Hazri Abdul Aziz, Muhamad Hanafi Rahmat, Dr. Nur Nasuha Abd. Salam dan Muhamad Adli Faezal Rosnan, manakala bidang Kejuruteraan Awam dan Struktur dibimbing Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Norashidah Abd Rahman serta Ir. Dr. Zainorizuan Mohd Jaini.

Penyertaan dalam pertandingan berimpak tinggi itu bukan sahaja mengasah kemahiran teknikal dan pemikiran kritis mahasiswa, malah memperkukuh portfolio profesional serta membuka ruang membina jaringan dengan pemain industri pembinaan. Pengalaman berhadapan juri profesional turut memberi pendedahan langsung terhadap standard dan ekspektasi industri sebelum mereka melangkah ke alam pekerjaan.
Pencapaian tersebut membuktikan bahawa potensi mahasiswa tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan tahap pengajian atau kelayakan akademik, sebaliknya turut bergantung kepada keberanian meneroka idea, kesungguhan mengembangkan kemahiran dan kemampuan menterjemahkan ilmu kepada penyelesaian sebenar. Kejayaan mahasiswa prasiswazah UTHM menembusi kelompok 10 terbaik bersama peserta peringkat Sarjana menjadi bukti bahawa bakat dan kompetensi mampu melangkaui batas peringkat pengajian.
Kejayaan itu sekali gus mencerminkan komitmen UTHM dalam melahirkan graduan yang kreatif, inovatif dan mempunyai daya saing tinggi melalui pengintegrasian ilmu teori dengan aplikasi praktikal. Pencapaian pasukan FKAAB itu diharap menjadi inspirasi kepada lebih ramai mahasiswa untuk berani mencabar kemampuan diri, menyertai pertandingan berprestij serta membina kecemerlangan bukan sahaja dalam akademik, malah dalam bidang profesional dan inovasi.













