Teks: Encik Murshid Md Hussain, Pegawai Kebudayaan, Sektor Pengkayaan Bakat Seni & Budaya USM merangkap Setiausaha MAKUM
Foto: Dewan Bahasa dan Pustaka / Encik Murshid Md Hussain, Pegawai Kebudayaan, Sektor Pengkayaan Bakat Seni & Budaya USM merangkap Setiausaha MAKUM
Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA USM

PULAU PINANG, 30 Oktober 2026 – Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) memperkukuh jaringan strategik bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Lawatan Korporat MAKUM 1/2026 kelmarin bagi meneroka peluang kerjasama serta memperkasa pembangunan seni dan budaya di institusi pendidikan tinggi.
Lawatan tersebut diketuai oleh Prof. Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni Universiti Sains Malaysia merangkap Pengerusi MAKUM, dengan penglibatan wakil universiti awam yang memainkan peranan dalam memperkukuh agenda kebudayaan di peringkat institusi.
Delegasi ini turut disertai Encik Murshid Md Hussain (Pegawai Kebudayaan USM merangkap Setiausaha MAKUM) dan Encik Mohd Nur Badri Mohd Nazli (Pegawai Kebudayaan PUMA), bersama wakil dari UKM, UTM, dan UMS. Turut menyertai secara dalam talian ialah wakil dari UPNM, UM, UUM, dan UIAM.

Kunjungan delegasi MAKUM ke JKKN dan DBP bertujuan memperkukuh hubungan antara IPT dan agensi kerajaan melalui perkongsian kepakaran, penyelarasan inisiatif seni kebudayaan, serta pembukaan ruang komunikasi. Pertemuan bersama kepimpinan DBP termasuk Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Encik Abang Haliman Abang Julai, serta Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan), Encik Rosnan Abdul Rahman turut membincangkan hal berkaitan dasar untuk diteliti dan diselaraskan di peringkat jawatankuasa kerja antara jabatan.
Usaha ini mencerminkan komitmen MAKUM untuk memperluas jaringan kerjasama dengan pihak berkepentingan melalui pendekatan strategik yang mengutamakan perkongsian kepakaran, penyelarasan dasar dan pembangunan program kebudayaan secara lebih tersusun.
Melalui hubungan strategik yang diperkukuh ini, MAKUM berharap kerjasama antara universiti dengan agensi berkaitan dapat terus diperkasakan bagi memacu pembangunan seni dan budaya dalam kalangan mahasiswa serta menyumbang kepada kelestarian warisan budaya negara.















