Advertisement

KEUB 2026 Perkukuh Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera Negara

Oleh: Hairul Reazuan Asmayadi

KUALA TERENGGANU, 2 Jun 2026 – Konvensyen Ekonomi Usahawan Bumiputera (KEUB) 2026 melakar satu lagi sejarah penting dalam usaha memperkukuh agenda pembangunan ekonomi Bumiputera negara apabila berjaya menghimpunkan lebih 1,500 peserta terdiri daripada usahawan, ahli akademik, pelajar, agensi kerajaan dan pemain industri dari seluruh negara.

Gambar 1: Program KEUB 2026 mengumpulkan sebilangan pakar dan ikon usahawan serta kehadiran pegawai kanan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan agensi.

Bertemakan pemerkasaan ekonomi Bumiputera yang progresif dan berdaya saing, konvensyen yang berlangsung selama tiga hari di Terengganu Equestrian Resort itu menjadi medan strategik bagi membincangkan cabaran semasa serta merangka solusi yang lebih mampan dalam memperkukuh kedudukan ekonomi Bumiputera.

Majlis penutupan konvensyen telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi yang turut menyampaikan amanat berkaitan keperluan melakukan transformasi menyeluruh terhadap landskap ekonomi Bumiputera negara.

Gambar 2: Majlis Perasmian KEUB 2026 telah disempurkan oleh YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Menurut beliau, sudah tiba masanya Bumiputera berhenti menjadi sekadar pengguna teknologi, vendor kecil dan peserta pasaran semata-mata, sebaliknya tampil sebagai pemilik platform digital, pencipta teknologi kecerdasan buatan (AI) serta peneraju industri strategik negara. (Sumber: Utusan Online)

Beliau turut menggariskan tiga anjakan radikal yang perlu dilaksanakan segera iaitu mengubah ukuran kejayaan daripada sekadar penyertaan kepada pemilikan, memperkukuh penguasaan teknologi dan inovasi serta membina ekosistem keusahawanan yang mampu bersaing di peringkat global.

“Jika kita benar-benar mahu mengangkat agenda ekonomi Bumiputera, maka kita mesti berani melaksanakannya dengan tuntas dan bukan separuh jalan,” tegas beliau ketika menyampaikan ucapan penutupan konvensyen.

Sepanjang penganjuran konvensyen, peserta berpeluang mengikuti pelbagai sesi forum, pembentangan dan perbincangan yang menyentuh sektor-sektor strategik seperti ekonomi digital, industri halal, TVET berimpak tinggi, ekonomi gig profesional, pelancongan, aeroangkasa serta teknologi hijau.

Konvensyen tersebut turut menghasilkan pelbagai resolusi dan cadangan strategik yang bakal menjadi rujukan dalam memperkukuh dasar pembangunan usahawan Bumiputera pada masa hadapan.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Profesor Dr. Mohd Sazili Shahibi berkata KEUB 2026 membuktikan bahawa pembangunan ekonomi Bumiputera memerlukan pendekatan holistik yang bukan sahaja memberi fokus kepada aspek perniagaan, malah pembangunan modal insan, bakat dan kepimpinan generasi masa hadapan.

“KEUB 2026 telah membuka ruang yang amat bermakna untuk menghimpunkan pelbagai pemegang taruh dalam satu platform yang sama bagi membincangkan penyelesaian, peluang dan strategi baharu dalam memperkasa ekonomi Bumiputera. Sinergi yang terjalin ini membuktikan bahawa agenda pembangunan ekonomi negara memerlukan komitmen bersama daripada kerajaan, institusi pendidikan, industri dan masyarakat.”

Beliau turut menegaskan bahawa institusi pendidikan tinggi memainkan peranan penting dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja mempunyai kelayakan akademik, malah berupaya menjadi pencipta pekerjaan, peneraju industri dan pemacu inovasi negara.

Kejayaan penganjuran konvensyen berskala mega ini tidak akan tercapai tanpa sinergi utuh antara pelbagai agensi. Penghargaan turut dizahirkan kepada MASMED dan pihak penganjur bersama khususnya Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) serta agensi pelaksana termasuk Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Majlis Amanah Rakyat, Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan dan pelbagai rakan strategik lain yang telah berganding bahu menjayakan konvensyen ini.

Semangat kerjasama rentas kementerian, agensi dan institusi yang dipamerkan sepanjang KEUB 2026 menjadi contoh terbaik bagaimana pendekatan kolaboratif mampu menghasilkan resolusi yang lebih komprehensif, praktikal dan berimpak tinggi kepada pembangunan ekonomi Bumiputera.

Gambar 3: Sebahagian mahasiswa dan peserta mengambil peluang bergambar bersama YAB Timbalan Perdana Menteri

Dengan berakhirnya KEUB 2026, para peserta membawa pulang iltizam baharu untuk terus memperkukuh jaringan kerjasama, mempercepat transformasi ekonomi dan merealisasikan aspirasi melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera yang berdaya saing di peringkat nasional dan global.

Sumber dan kredit gambar: Utusan Online / DrZahidHamidi