Advertisement

Kepimpinan Bukan Kedudukan Semata-Mata, Tetapi Amanah Besar – TNC HEPA – MySiswaNow

Berita oleh Muhammad Aiman bin Mohd Amin Fauzan
Gambar oleh Muhammad Asraff Luqman bin Muhammad Aris, Muhammad Aiman bin Mohd Amin Fauzan & Muhammad Adam Hareez bin Hasmera

SINTOK, 28 Oktober —Pilihan Raya Kampus (PRK) Universiti Utara Malaysia (UUM) sesi 2026/2027 melakar pencapaian membanggakan apabila merekodkan 76.28 peratus kadar keluar mengundi, sekali gus mencerminkan kesedaran, kematangan dan komitmen tinggi mahasiswa dalam menentukan hala tuju kepimpinan pelajar universiti.

Majlis yang berlangsung dalam suasana meriah dan penuh semangat demokrasi itu menghimpunkan ratusan mahasiswa serta alumni yang bersama-sama menyaksikan pengumuman keputusan rasmi PRK UUM 2026/2027. Sorakan dan sambutan penuh bersemangat daripada warga kampus bukan sahaja memeriahkan majlis, malah mencerminkan sokongan padu, kematangan mahasiswa serta penghayatan terhadap amalan demokrasi dalam menentukan kepimpinan pelajar universiti.

PRK UUM bagi sesi kali ini menyaksikan persaingan sengit bagi direbutkan 10 kerusi umum Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan 34 kerusi wakil pelajar pusat pengajian. Selain itu, dua kerusi umum inklusif dan satu kerusi umum pascasiswazah turut diisi menerusi lantikan terus oleh Naib Canselor.

Berdasarkan keputusan rasmi pengundian mengikut pusat pengajian, Pusat Pengajian Pendidikan (SOE) mencatatkan peratusan keluar mengundi tertinggi iaitu sebanyak 96.90 peratus. Ini diikuti oleh Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP) sebanyak 96.17 peratus dan Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) dengan 92.82 peratus.

Bagi kategori kolej kediaman pula, INASIS Malaysia Airlines (MAS) menjuarai carta kadar mengundi tertinggi dengan 99.12 peratus, disusuli INASIS Sime Darby (97.74 peratus) dan INASIS Bank Muamalat (97.72 peratus).

Mewakili Naib Canselor UUM, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Bakti bin Hasan Basri menyampaikan amanat utama dengan memetik hadis riwayat Bukhari dan Muslim bahawa “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan dipertanggungjawabkan atas kepimpinannya”.

“Kepimpinan bukan satu kedudukan semata-mata, tetapi ia adalah amanah besar yang disertai dengan tanggungjawab untuk membawa perubahan positif serta menjaga kebajikan dan keharmonian siswa yang dipimpin,” tegas Dr. Bakti sambil mengingatkan para pemenang bahawa tugas pemimpin menuntut dedikasi, keikhlasan, dan kebijaksanaan yang tinggi.
Beliau turut menzahirkan harapan agar barisan kepimpinan MPP sesi 2026/2027 yang dilantik dapat menjadi pemangkin perubahan generasi berasaskan nilai integriti dan keterbukaan.

Majlis turut disemarakkan dengan kehadiran barisan kepimpinan utama universiti termasuk Penolong Naib Canselor COLGIS, Prof. Dr. Harlida binti Abdul Wahab; Penolong Naib Canselor COB, Prof. Dr. Selamah Maamor; Penolong Naib Canselor CAS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Audit PRK, Prof. Dr. Osman bin Ghazali; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar UUM, Encik Muzamil bin Mahmud; serta barisan dekan dan pengetua INASIS.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya Kampus (JPRK), Saudari Lyana Hazirah binti Mohammad Gazali merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga kampus atas komitmen mengundi yang mencerminkan kesedaran serta kematangan dalam menjulang amalan demokrasi yang telus, adil, dan profesional.

Total Views: 8