ISKANDAR PUTERI, 29 Oktober 2026 — Kelab Tarian Citra Daksina Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sekali lagi membuktikan keunggulannya apabila berjaya meraih gelaran Johan dalam pertandingan Festival Zapin Jauhar 2026 yang berlangsung di Educity Sports Complex, Iskandar Puteri, Johor. Kejayaan ini menyaksikan Citra Daksina berjaya mengekalkan kedudukan sebagai Johan selama lima tahun berturut-turut, sekali gus mengukuhkan reputasinya dalam seni persembahan zapin.

Festival yang dianjurkan oleh Yayasan Johor ini menyaksikan penyertaan sebanyak lima kumpulan iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM), Kolej Poly-Tech Mara (KPTM), dan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) bagi kategori Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Persaingan yang berlangsung telah memberikan peluang kepada setiap kumpulan untuk mempersembahkan keunikan dan keindahan seni tari zapin melalui kreativiti, keseragaman gerak tari serta penghayatan persembahan.
Pencapaian membanggakan ini merupakan hasil usaha dan komitmen berterusan seluruh ahli kelab yang telah memberikan sepenuh tenaga dan dedikasi sepanjang tempoh latihan serta persediaan bagi menghadapi pertandingan tersebut. Kesungguhan para penari dalam mengekalkan mutu persembahan menjadi antara faktor utama kejayaan yang dikecapi.
Penyertaan dalam festival ini bukan sahaja menguji kemahiran dan kreativiti para penari, malah menjadi platform untuk memperluas pengalaman, meningkatkan keyakinan diri serta mengeratkan hubungan antara kumpulan seni tari daripada institusi yang berbeza.

Kejayaan mengekalkan gelaran Johan selama lima tahun berturut-turut ini turut mencerminkan komitmen Kelab Tarian Citra Daksina dalam memartabatkan seni dan budaya tradisional Melayu, khususnya seni tari zapin dalam kalangan generasi muda. Pencapaian ini juga memperlihatkan penglibatan aktif mahasiswa UTM dalam usaha mengekalkan warisan budaya di samping kecemerlangan akademik.
Kejayaan ini diharapkan menjadi pembakar semangat kepada seluruh ahli Kelab Tarian Citra Daksina untuk terus mengekalkan prestasi, memperkukuh mutu persembahan dan mengangkat martabat seni warisan Melayu ke peringkat yang lebih tinggi, sekali gus mengharumkan nama Universiti Teknologi Malaysia.













