Advertisement

Karnival Kerjaya Pahang 1st meriah merancakkan Expokonvo UMPSA menjelang Hari Konvokesyen ke-21

Oleh : Mohamad Nasrul Naim bin Romainu

Pekan, 25 Oktober – Kemeriahan Karnival Kerjaya Pahang 1st Siri 2 Pekan terus merancakkan penganjuran Ekspo Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) 2026 menjelang Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-21 yang bakal berlangsung dari 31 Oktober hingga 3 November 2026.

Karnival kerjaya ini menawarkan sebanyak 250 kekosongan jawatan daripada lebih 13 syarikat, termasuk HICOM Automotive, Kaneka (Malaysia), VACUUMSCHMELZE (Malaysia) dan AG Mate. Penganjuran dengan kerjasama Majlis Tindakan Sosial Negeri Pahang (MTSP), UMPSA, Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dan GIATMARA ini membuka peluang pekerjaan kepada mahasiswa, graduan serta masyarakat setempat.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Mohamad Nizar bin Dato’ Sri Mohamad Najib, kerajaan negeri sentiasa memberikan perhatian terhadap usaha memperluas peluang pekerjaan kepada rakyat, khususnya golongan belia dan graduan baharu. Beliau menegaskan bahawa kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi dengan pihak industri penting bagi memastikan graduan memiliki ilmu dan kemahiran yang memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Kerjaya Pahang 1st Siri 2 Pekan dan Perasmian Ekspo Konvokesyen UMPSA 2026 yang berlangsung di UMPSA, Pekan, semalam. Menurut beliau, usaha bersepadu antara kerajaan, universiti dan industri mampu memperluas akses kepada peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan rakyat serta membantu golongan muda membina masa depan yang lebih terjamin.

Mengulas perkembangan ekonomi negeri, beliau berkata Pelan Transformasi Ekonomi Pahang 2030 (PET30) memberi tumpuan kepada enam sektor utama, iaitu tenaga boleh baharu, bahan termaju, pertanian, pembangunan berorientasikan transit (TOD), kenderaan elektrik (EV) dan automotif serta pelancongan. Kerajaan negeri turut memperkukuh industri berasaskan teknologi dan inovasi, termasuk pembangunan industri hiliran bagi memproses serta meningkatkan nilai sumber mineral tempatan, sekali gus menarik pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat, kerajaan negeri menyasarkan peningkatan purata gaji pekerja daripada RM2,300 kepada RM3,300, di samping memperluas pembangunan industri baharu yang merangkumi syarikat pemula, industri halal dan sektor aeroangkasa. Beliau turut menggalakkan penyelidik UMPSA untuk menyumbang kepakaran dalam menjayakan Pahang Startups Roadmap 2030 bagi membangunkan ekosistem syarikat pemula tempatan serta membuka ruang kepada golongan muda dan usahawan baharu meneroka bidang ekonomi digital, teknologi dan inovasi.

Selain menyediakan peluang pekerjaan, Karnival Kerjaya Pahang 1st turut menawarkan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada pengunjung, antaranya Sesi Bina Kerjaya, Sukan Rakyat dan Larian Kerjaya Pahang 1st sejauh lima kilometer. Pengunjung turut berpeluang menjalani saringan pemeriksaan kesihatan yang disediakan oleh Beacon Oncology Clinic Kuantan, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Pahang serta Aurelius Hospital Pahang.

Majlis turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim bin Mohamed; Ketua Pejabat Cawangan Pahang HRD Corp, Nurzatul Norzian binti Zamri; Eksekutif Kanan TalentCorp, Jamilah binti Sabri; Ahli Lembaga Pengarah GIATMARA, Dato’ Dr. Norsabrina binti Mohd Noor; serta Timbalan Pengarah GIATMARA Negeri Pahang, Mohd Hazrat bin Abdul Kadir.

Lebih 500 pelajar turut memeriahkan majlis penutupan karnival dan pembukaan Ekspo Konvokesyen UMPSA 2026 yang diserikan dengan persembahan artis Danial Kifli dan Ahmad Dayan. Penganjuran ini mencerminkan komitmen berterusan dalam menghubungkan graduan dengan industri, memperkukuh kebolehpasaran graduan serta menyediakan platform yang menggabungkan peluang kerjaya, pembangunan ekonomi dan kemeriahan sambutan konvokesyen UMPSA.

Kredit Foto : Encik Zaffaruddin bin Hamzah

Total Views: 9