Advertisement

Inspirasi Varsiti UTHM-KPT 2026 suntik semangat pelajar sekolah melangkah ke menara gading

Oleh: Ahmad Shah A Rahim

PARIT RAJA, 26 September 2026 – Seramai kira-kira 200 pelajar Tingkatan 3 hingga Tingkatan 5 daripada tiga sekolah sekitar Batu Pahat berpeluang merasai pengalaman sebagai bakal mahasiswa menerusi Program Inspirasi Varsiti UTHM-KPT Tahun 2026 “Selangkah ke Menara Gading” yang berlangsung dari 24 hingga 26 September 2026.

Program anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Kelab Mahasiswa MADANI dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Pelajar, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta Majlis Kepimpinan & Latihan Universiti Malaysia (MAKLUM) itu melibatkan sekolah  SMK Munshi Sulaiman, SMK Suria Perdana dan SMK Dato Menteri.

Majlis perasmian program yang berlangsung di Big Stage, Perpustakaan Tunku Tun Aminah, UTHM telah disempurnakan oleh YB Puan Hajah Nor Rashidah binti Haji Ramli, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Raja, Johor.

Turut hadir, Prof. Ts. Dr. Abdul Rasid bin Abdul Razzaq, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), En. Khairuddin Hj Alias, Pengarah Pejabat Hal Ehwal Pelajar, Pengetua-pengetua sekolah yang terlibat dan Ketua Pusat Tanggungjawab HEPA, UTHM.

Program ini merupakan platform pendedahan awal kepada pelajar sekolah menengah untuk mengenali dengan lebih dekat dunia pendidikan tinggi, kehidupan kampus dan persekitaran pembelajaran di universiti. Melalui pelbagai aktiviti interaktif dan informatif, peserta diberikan peluang untuk meneroka pengalaman sebagai mahasiswa serta memahami laluan dan peluang yang tersedia selepas tamat persekolahan.

Penganjuran program ini turut memperlihatkan komitmen UTHM dalam mendukung aspirasi KPT untuk memperluas akses dan meningkatkan kesedaran generasi muda terhadap peluang melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi.

Dengan penganjuran program ini diharapkan dapat menyemarakkan aspirasi, motivasi dan keyakinan pelajar sekolah untuk menetapkan pendidikan tinggi sebagai salah satu matlamat masa depan mereka.Ia sekali gus membuktikan bahawa perjalanan menuju menara gading bermula dengan satu langkah kecil iaitu melihat, merasai dan membayangkan diri sebagai seorang mahasiswa.

Total Views: 33