Oleh : Siti Ruhaida Mohamed Radhi Unit Media dan Penerbitan BHEPA USM

PULAU PINANG, 25 Oktober 2026 – Glow Paint Run anjuran Sekretariat 3KPP menyemarakkan penutup Karnival Keusahawanan dan Kerjaya Pulau Pinang 2026 menerusi acara larian sejauh lima kilometer (5 KM) yang berlangsung di The Bricks, Universiti Sains Malaysia.

Pui Wei Xin (kiri) bersama Azizah Omar dan Hazrul Abdul Hamid mengabdikan simbolik perasmian Glow Paint Run 2026
Program tersebut turut diserikan dengan upacara perasmian malam Glow Paint Run menerusi simbolik menurunkan tanda tangan oleh Profesor Dr. Azizah Omar, Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar, BHEPA USM, bersama-sama Dr. Hazrul Abdul Hamid, Timbalan Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA USM.
Diterajui oleh Pengarah Projek, saudara Pui Wei Xin, program ini turut diserikan dengan aktiviti Accessories Bar dan Canvas Painting pada sebelah pagi hingga tengah hari, di samping gerai jualan dan makanan yang menambah kemeriahan suasana serta menarik kunjungan warga kampus.


Dengan penyertaan hampir 2000 peserta, Glow Paint Run menyatukan komuniti kampus dalam suasana penuh bertenaga sebelum tirai program dilabuhkan dengan persembahan oleh penyanyi baru Naki yang menghiburkan para peserta dan pengunjung.
Penganjuran ini menyerlahkan kreativiti mahasiswa dalam menggabungkan sukan, seni dan keusahawanan melalui sebuah program yang bukan sahaja menghidupkan suasana kampus, malah menggalakkan interaksi serta mengukuhkan semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti USM.















