Advertisement

Dr. Siti Hawa Ukir Sejarah, Terima Pengiktirafan Malaysia Book Of Records

Oleh : Mohamad Nasrul Naim bin Romainu

Kuantan, 6 Ogos – Alumni Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Dr. Siti Hawa binti Apandi, 36, melakar sejarah apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) sebagai “First ‘SMA’ Patient to Complete Continuous Higher Education Studies From Single University”.

Pengiktirafan tersebut mengiktiraf kejayaan Dr. Siti Hawa sebagai individu pertama yang menghidap Spinal Muscular Atrophy (SMA) berjaya menamatkan pengajian tinggi secara berterusan daripada peringkat diploma sehingga Doktor Falsafah (PhD) di universiti yang sama.

Majlis penyerahan pengiktirafan berkenaan disempurnakan oleh Pegawai Rasmi Malaysia Book of Records, Siti Nurhanim Mohd Noh, di kediaman Dr. Siti Hawa di Taman Seri Mahkota Aman, Kuantan. Turut hadir Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, yang menyempurnakan simbolik pemakaian jubah konvokesyen sebagai tanda penghargaan terhadap kejayaan beliau.

Turut hadir Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UMPSA, Ts. Dr. Mohamad Rusydi bin Mohamad Yasin, Pengarah Pusat Teknologi dan Ekosistem Inklusif (iNKLUSIF), Dr. Munira binti Abdul Razak serta Pengarah Pusat Komunikasi Korporat, Mimi Rabita Abdul Wahit.

Dr. Siti Hawa yang menjalani kehidupan berkerusi roda akibat SMA membuktikan kecekalan luar biasa apabila meneruskan pengajian di UMPSA sejak peringkat diploma pada tahun 2007, sebelum menamatkan pengajian Sarjana Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) pada 2016 dan seterusnya memperoleh PhD pada tahun lalu.

Di sebalik kejayaan tersebut, ibunya, Zaidah Tamjis, 63, menjadi sumber kekuatan utama yang sentiasa menemani beliau sepanjang lebih sedekad perjalanan akademiknya. Zaidah turut tinggal bersama anaknya di kolej kediaman UMPSA sejak pengajian diploma sehingga tamat pengajian.

Namun, Dr. Siti Hawa tidak berkesempatan menyarungkan jubah PhD pada Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20 berikutan keadaan kesihatan yang memerlukan rawatan rapi akibat komplikasi jangkitan paru-paru. Anugerah beliau kemudiannya disampaikan kepada ibu bapanya oleh Pro Canselor UMPSA, Tan Sri Abi Musa Asaari Mohamed Nor.

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, kejayaan Dr. Siti Hawa bukan sahaja menjadi kebanggaan kepada keluarga, malah merupakan satu penghormatan besar kepada seluruh warga universiti kerana membuktikan bahawa semangat, kesungguhan dan keazaman mampu mengatasi pelbagai cabaran.

Beliau turut menegaskan bahawa UMPSA sentiasa komited memperkasakan agenda pendidikan inklusif melalui penyediaan ekosistem pembelajaran yang kondusif dan peluang sama rata. Pengiktirafan MBR ini diharap menjadi inspirasi kepada masyarakat bahawa pendidikan ialah hak setiap individu dan tiada batasan untuk mencapai kejayaan dengan adanya kecekalan, sokongan keluarga serta komitmen institusi pendidikan.

Kredit Foto : Khairu Aidilnishah Rizan