Teks: Amirul Ikhmal Abd Aziz
Foto: Medical Society (MedSoc)
Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA

PULAU PINANG, 30 Oktober 2026 – Seramai 33 mahasiswa perubatan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia menyertai program Blue Health: From Ocean to Medicine di Centre for Marine and Coastal Studies (CEMACS), USM, Pulau Pinang, bagi mendalami hubungan antara kelestarian ekosistem marin dengan kesihatan manusia menerusi pendekatan Kesihatan Planetari (Planetary Health).
Program yang berlangsung pada 23 hingga 24 Oktober 2026 lalu dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Sains Perubatan (MedSoc), Kampus Kesihatan USM dengan kerjasama CEMACS untuk memperluas pemahaman mahasiswa tentang pengaruh persekitaran terhadap kesihatan manusia, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan serta SDG 14: Kehidupan di Bawah Air.
Selain lawatan kemudahan serta kawasan penyelidikan CEMACS dan aktiviti pembersihan pantai., peserta turut mengikuti sesi perkongsian mengenai ekosistem marin dan kesihatan manusia yang disampaikan oleh Pengarah CEMACS, Profesor Madya Dr. Mahadi Mohammad.


Pendedahan secara langsung ini turut diperkaya melalui interaksi bersama pensyarah CEMACS dan para saintis yang berkongsi pengetahuan tentang penyelidikan saintifik serta kesan pencemaran laut dan kemerosotan ekosistem marin terhadap kesihatan manusia.
Menurut Pengarah Program, Saudara Amirul Ikhmal Abd Aziz, pengalaman tersebut membantu mahasiswa melihat kesihatan manusia daripada perspektif yang lebih menyeluruh kerana kesejahteraan individu bukan sahaja bergantung pada rawatan klinikal, malah turut dipengaruhi oleh keadaan persekitaran dan kelestarian ekosistem.
Sehubungan itu, program ini diharap dapat melahirkan generasi doktor yang bukan sahaja kompeten dalam bidang klinikal, tetapi juga berfikiran holistik, peka terhadap cabaran kesihatan global dan bertanggungjawab dalam memelihara alam sekitar demi kesejahteraan generasi akan datang.














