
MELAKA, 18 Oktober 2026 – Program Sentuhan Kasih UKM@Melaka 2026 anjuran Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP-UKM) telah melabuhkan tirainya dengan jayanya selepas berlangsung selama dua hari, bermula 17 hingga 18 Oktober 2026 di Dewan Serbaguna Taman Seri Kandang, Ayer Molek, Melaka.

Bertemakan semangat keprihatinan, kebersamaan dan kesukarelawanan, program ini menjadi wadah bagi memperkukuh hubungan antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan komuniti setempat menerusi pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang memberikan manfaat kepada penduduk, di samping menyemai nilai kemanusiaan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan bagi mendekati masyarakat dan mewujudkan interaksi yang lebih erat antara warga universiti dengan komuniti setempat. Antara aktiviti yang dianjurkan termasuk ziarah kasih pelajar, gotong-royong komuniti, program penanaman pokok dan aktiviti melukis mural yang bertujuan menceriakan persekitaran serta memupuk semangat kerjasama dalam kalangan peserta dan penduduk.

Selain itu, pengisian program turut merangkumi ceramah agama, reruai informasi program UKM oleh pihak Akademik dan UKMShape, saringan minda sihat, sukan komuniti serta cabutan bertuah. Kepelbagaian aktiviti ini bukan sahaja memberikan ruang kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat dan menyertai aktiviti bermanfaat, malah menggalakkan interaksi sosial yang positif serta mengukuhkan semangat kekitaan dalam komuniti.
Penganjuran program seumpama ini turut membuka peluang kepada mahasiswa untuk mengaplikasikan nilai empati, kepimpinan, komunikasi dan kerja berpasukan melalui penglibatan secara langsung dalam aktiviti bersama masyarakat. Pengalaman tersebut diharapkan dapat membentuk mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah mempunyai kepekaan sosial dan komitmen terhadap kesejahteraan masyarakat.
Selaras dengan hasrat YBrs. Prof. Madya Ts. ChM. Dr. Darfizzi Derawi, Pengarah HEP-UKM juga merangkap program ini diharapkan dapat terus memperkukuh jaringan kerjasama antara universiti dengan komuniti serta menyemai budaya keprihatinan dan kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa. Pendekatan turun padang seperti ini juga mencerminkan peranan universiti sebagai institusi yang bukan sahaja berfungsi sebagai pusat ilmu, tetapi turut menyumbang secara langsung kepada pembangunan dan kesejahteraan masyarakat.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak penganjur, rakan kerjasama, para sukarelawan, penduduk setempat serta semua pihak yang telah menyumbangkan tenaga, masa dan komitmen dalam menjayakan Program Sentuhan Kasih UKM@Melaka 2026.
Semoga segala usaha dan sumbangan yang dicurahkan menjadi asbab keberkatan, mengukuhkan hubungan silaturahim serta menyemarakkan semangat untuk terus berbakti kepada masyarakat.





















