Advertisement

Bentuk nilai amanah, ketelusan

Oleh: Profesor Ts. Dr. Abdul Rasid bin Abdul Razzaq dan Muhaymin Hakim bin Abdullah

Integriti tidak terbina melalui slogan, tetapi melalui sistem yang berfungsi, manusia yang berprinsip dan keberanian untuk bertindak. Dalam membina negara berintegriti, titik permulaannya bukan pada sistem, tetapi pada manusia, khususnya generasi muda yang bakal mencorakkan masa hadapan negara. Di sini peranan mahasiswa menjadi kritikal.

Justeru, institusi pengajian tinggi (IPT) memberi penekanan serius terhadap pembinaan integriti dalam kalangan mahasiswa. Melalui platform seperti Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR), mahasiswa didedahkan secara langsung kepada program advokasi, kempen kesedaran dan wacana ilmiah berkaitan integriti. Pelaksanaan Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) pula memperkukuh kefahaman mahasiswa terhadap isu rasuah secara kritis dan berstruktur.

Usaha ini diperkasakan lagi melalui pembangunan kepemimpinan pelajar. Barisan kepemimpinan seperti Majlis Perwakilan Pelajar, persatuan, kelab serta kepimpinan kolej didedahkan dengan prinsip kepimpinan berintegriti bagi membentuk nilai amanah, ketelusan dan akauntabiliti sejak peringkat awal. Penglibatan dalam aktiviti kokurikulum seperti Sukarelawan Anti Rasuah (SUAR) turut menyokong pembentukan graduan berprinsip.

Pembinaan nilai dalam kalangan mahasiswa ini tidak berlaku secara terpisah, sebaliknya disokong oleh ekosistem institusi yang menyeluruh. Dalam landskap tadbir urus moden yang menuntut ketelusan dan akauntabiliti tinggi, universiti bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memainkan peranan penting dalam memastikan sistem yang dibangunkan mampu memperkukuh budaya integriti ini secara berterusan.

Universiti tidak seharusnya dinilai melalui persepsi semata-mata, tetapi melalui dasar, sistem dan tindakan yang dilaksanakan secara konsisten. Hakikatnya, universiti di Malaysia sudah lama membangunkan satu ekosistem integriti yang tersusun bagi memastikan gejala rasuah ditangani.

Lapisan pertama: Sistem dan tadbir urus institusi

Di peringkat asas, universiti ada struktur organisasi dan mekanisme pelaksanaan dasar yang jelas bagi mencegah rasuah secara sistematik. Ini termasuk penubuhan Unit Integriti serta Majlis Pegawai Integriti Universiti Awam (MPIUA) sebagai pemacu tadbir urus yang telus dan berakauntabiliti.

Selaras dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024–2028, universiti memperkukuh pelaksanaan dasar melalui pelan antirasuah organisasi. Sebagai contoh, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Pelan Antirasuah UTHM 2023–2027 menggariskan strategi pengurusan risiko rasuah secara menyeluruh. Polisi seperti No Gift Policy, garis panduan konflik kepentingan serta saluran aduan rasmi termasuk mekanisme pemberi maklumat (whistleblower) dan Sistem WeCare memperkukuh kawalan institusi.

Setiap kes dilapor melalui proses siasatan telus tanpa perlindungan kepada mana-mana individu. Pelaporan oleh Unit Integriti dibuat secara terus kepada Lembaga Pengarah Universiti (LPU), selaras dengan ketetapan kementerian. Universiti turut bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan tindakan pembetulan dilaksanakan secara menyeluruh.

Lapisan kedua: Program pendidikan dan pencegahan

Selain struktur formal, universiti melaksanakan program pencegahan bagi membina kesedaran dalam kalangan warga institusi. Bagi staf, inisiatif Ikrar Bebas Rasuah (IBR) berfungsi sebagai komitmen moral dan profesional menolak rasuah, di samping memperkukuh akauntabiliti individu. Program latihan tadbir urus, bengkel etika kerja serta pematuhan peraturan memastikan nilai integriti diterjemahkan dalam amalan kerja seharian.

Lapisan ketiga:Pembangunan manusia dan budaya

Kekuatan sebenar sesebuah sistem terletak pada manusia yang menggerakkannya. Justeru, universiti memberi penekanan kepada pembinaan budaya integriti yang melangkaui pematuhan kepada peraturan semata-mata.

Pembangunan modal insan berintegriti diperkukuh melalui pelbagai program latihan seperti Program Transformasi Minda (PTM), Kursus Etika dan Integriti serta Kursus Kesedaran Akta Badan-Badan Berkanun (Tataterib dan Surcaj) 2000 (Akta 605). Selain itu, Kursus Modul Pengukuhan Governans, Integriti dan Antirasuah (MPGIA) yang dilaksana merentasi semua peringkat organisasi memastikan nilai akauntabiliti dan ketelusan diarusperdanakan menyeluruh.