Oleh: Prof. Madya Dr. Muhaini binti Othman
Batam 30 September 2026 – Mahasiswa Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Nur Amalin Nabila binti Azman, telah berjaya mengharumkan nama universiti di persada antarabangsa apabila dinobatkan sebagai Naib Juara (1st Runner-Up) bagi kategori Poster Design Competition.
Pencapaian ini diraih sempena penganjuran LITAS International Youth Festival 2026 bertemakan “Connecting Talents, Cultures and Friendship Beyond Borders”.
Festival berprestij ini telah dianjurkan oleh Universitas Ibnu Sina bertempat di Batam, Indonesia pada 29 hingga 30 September 2026.

Pertandingan reka bentuk poster yang dianjurkan secara dalam talian ini mencabar para peserta untuk menterjemahkan tema utama iaitu “Love Our Earth: Youth Action for a Sustainable Environment” serta mesej kempen “Care Today, Sustain Tomorrow” melalui visual yang kreatif. Karya Nur Amalin Nabila telah berjaya menonjolkan mesej pemeliharaan alam sekitar dan tindakan mampan yang perlu digerakkan oleh golongan belia dengan cemerlang.
Kejayaan ini sekali gus menepati objektif festival untuk mempromosikan kesedaran alam sekitar dalam kalangan belia selain membuktikan bakat kreativiti mahasiswa UTHM di peringkat global.
Pencapaian membanggakan ini diharap dapat menjadi pencetus semangat kepada seluruh warga universiti dan komuniti untuk terus melakar kejayaan. Selari dengan aspirasi Unit Hal Ehwal Pelajar & Alumni UTHM, “Mahasiswa bukan sahaja mencipta program berkualiti, tetapi juga menjadi suara yang menyebarkan inspirasi dan kecemerlangan universiti.”.
Semoga kejayaan ini merintis lebih banyak penglibatan aktif mahasiswa dalam pelbagai platform antarabangsa pada masa akan datang.














