KUALA NERUS, 21 OKTOBER 2026 – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menganjurkan program Healing Festival dan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Negeri Terengganu yang berlangsung selama dua hari, bermula 21 hingga 22 Oktober 2026, bertempat di Dewan Al-Muktafi Billah Shah (DABS), Kampus Gong Badak, Terengganu.

Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kesihatan mental, di samping menggalakkan amalan penjagaan kesejahteraan emosi dan psikologi dalam kehidupan seharian. Penganjuran ini turut menjadi platform untuk berkongsi pengetahuan, pengalaman dan pendekatan positif dalam menangani tekanan serta cabaran kehidupan.

Majlis perasmian program pada hari pertama diserikan dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu UniSZA, bacaan Ikrar Rukun Negara serta gimik perasmian. Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan yang melibatkan tiga kategori, iaitu Ekspresi Seni Lukisan, Video TikTok dan Puisi.
Pelbagai pengisian menarik disediakan sepanjang program, termasuk forum bertajuk “The Anxious Generation: From Stress to Strength” yang dikendalikan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu. Forum ini memberi tumpuan kepada isu tekanan dan kebimbangan serta pendekatan membina kekuatan diri dalam menghadapi cabaran kesihatan mental.

Selain itu, program turut menampilkan perkongsian bertajuk “Mencari Jalan Pulang: Inspirasi dari Psikospiritual Imam al-Shafi’i” oleh Prof. Dr. Najihah binti Abd Wahid dari Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), UniSZA. Sesi ini mengetengahkan perspektif psikospiritual sebagai salah satu pendekatan untuk membina ketenangan jiwa dan keseimbangan emosi.
Penganjuran Healing Festival ini diharap dapat memupuk kesedaran bahawa kesihatan mental merupakan aspek penting dalam kesejahteraan hidup yang perlu diberikan perhatian sewajarnya. Usaha ini juga diharapkan dapat menggalakkan masyarakat untuk lebih terbuka membincangkan isu kesihatan mental, mendapatkan bantuan profesional apabila diperlukan serta saling menyokong dalam mewujudkan persekitaran yang sihat dan sejahtera.

Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang ini diteruskan pada 22 Oktober 2026 dengan pelbagai aktiviti yang dirancang bagi menyokong kesejahteraan mental dan emosi warga universiti serta masyarakat setempat.












