Oleh: Fakulti Kejuruteraan Teknikal, UTHM
Program Mega ETEC Streetfair Volume 5.0 telah dianjurkan oleh Kelab Teknologi Kejuruteraan di Dewan A9, Kolej Kediaman Pagoh dari 15 Mei hingga 17 Mei 2026.
Penganjuran program ini bertujuan memupuk budaya keusahawanan berteraskan teknologi dalam kalangan pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) selaras dengan aspirasi Global Technopreneurship University 2030 (GTU 2030).
Selain warga kampus UTHM, program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran pengunjung luar termasuk pelajar dari UIA Pagoh dan Kolej Vokasional.
Sepanjang tiga hari berlangsung, pelbagai aktiviti menarik telah dianjurkan bagi memberi pengalaman holistik kepada semua peserta.

Antaranya termasuklah Zero Waste Booth yang menekankan kesedaran kelestarian alam sekitar dan webinar bertajuk “Imagine 2.0: How AI Will Reshape Our Reality” yang mendedahkan perkembangan teknologi semasa.
Di samping itu, pertandingan solekan telah diadakan dengan penglibatan juri dari Kolej Komuniti Kota Melaka serta penyertaan pelajar dari Kolej Vokasional Pagoh.
Suasana program turut dimeriahkan dengan aktiviti sukan rakyat seperti tuju selipar, bola beracun, galah panjang, dan lari dalam guni yang berjaya menarik penyertaan pelajar.
Aktiviti Student Vendor pula memberi peluang kepada pelajar menjalankan perniagaan secara langsung melalui pembukaan booth jualan. Selain itu, Gaming Corner yang menyediakan konsol PS4 menjadi antara tarikan utama yang berjaya memikat hati pengunjung.
Pertandingan Battle of Barber yang melibatkan pelajar UTHM juga mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Bagi merakam kenangan sepanjang program, ETEC’s Snap Lab yang berkonsepkan photo booth menjadi lokasi pilihan utama para pengunjung.
Keadaan bertambah ceria dengan adanya persembahan muzik oleh kumpulan TOMPINZ dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan. Di dalam dewan, jualan bundle hasil kolaborasi bersama Blackened Closet yang melibatkan 33 vendor telah berjaya menarik minat ramai pengunjung.
Bagi memenuhi keperluan makanan dan minuman pengunjung, vendor luar turut beroperasi di sekitar kawasan parkir A12 dan A1315.
Seterusnya, majlis perasmian program telah disempurnakan oleh pihak TDHEPA FTK dan TDHEPA PPD. Akhir kata, program seperti ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan mahasiswa yang lebih berdaya saing, kreatif, dan inovatif.












