Oleh: Mohd Khairul Effendi Che Wan
PAUH PUTRA, 11 September 2026 – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperuntukkan sebanyak RM377,000 bagi menyantuni seramai 1,885 Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) daripada 20 Universiti Awam (UA) menerusi Program Hijrah Minda MAIPs Bilangan 20 Tahun 2026 yang berlangsung di Surau Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kampus Alam Pauh Putra.
Sumbangan tersebut melibatkan agihan zakat kepada pegawai kadet beragama Islam, manakala pegawai kadet bukan Islam turut menerima bantuan khas sebagai tanda keprihatinan MAIPs terhadap kebajikan dan kesejahteraan seluruh peserta PALAPES UA yang berada di Perlis sempena Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet PALAPES UA Ke-44 Tahun 2026.

Penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang juga Canselor UniMAP dan Yang Dipertua MAIPs.
Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata sumbangan tersebut mencerminkan keprihatinan MAIPs terhadap kebajikan mahasiswa, selain menjadi sokongan bermakna kepada pegawai kadet yang sedang melalui fasa akhir latihan sebelum ditauliahkan sebagai pegawai muda.
Menurut beliau, bantuan itu bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan para pegawai kadet, malah memberikan suntikan semangat kepada mereka untuk terus melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi.

“MAIPs memperuntukkan sebanyak RM377,000 untuk diagihkan kepada pegawai kadet yang melibatkan penyertaan daripada 20 Universiti Awam.
“Bantuan ini merupakan satu bentuk sokongan yang sangat bermakna kepada para pegawai kadet dan membuktikan bahawa aspek kebajikan serta kesejahteraan mahasiswa sentiasa diberi perhatian,” katanya ketika ditemui selepas program berkenaan.
Beliau berkata, PALAPES merupakan platform penting dalam membentuk generasi muda yang berdisiplin, berdaya tahan dan mempunyai semangat patriotisme, sekali gus membantu melahirkan modal insan yang berkualiti serta bersedia menyumbang kepada negara.
“Dalam masa yang sama, pendekatan MAIPs yang turut memberikan bantuan khas kepada pegawai kadet bukan Islam memperlihatkan semangat kebersamaan dan keprihatinan terhadap kesejahteraan seluruh peserta tanpa mengira latar belakang agama,” katanya.
Program Hijrah Minda MAIPs berkenaan turut diisi dengan Ceramah Dakwah dan Penerangan MAIPs bertajuk Satu Saf, Satu Matlamat” yang disampaikan oleh Ahli Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perlis, Ustaz Mohd Rizal Azizan.
Ceramah tersebut memberi penekanan terhadap kepentingan membentuk kesedaran, jati diri dan semangat mempertahankan kesucian agama serta kedaulatan negara dalam kalangan generasi muda.
Acara turut diserikan dengan keberangkatan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, yang berkenan menunaikan solat Jumaat bersama para jemaah serta warga kontinjen PALAPES UA.
Program diteruskan dengan Khutbah Jumaat Khas bertajuk “Wira Muda, Harapan Negara dan Agama” yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.
Menerusi khutbah tersebut, beliau mengingatkan bahawa tanggungjawab mempertahankan tanah air merupakan satu amanah yang menuntut generasi muda memiliki tiga kekuatan utama, iaitu kekuatan fizikal yang lasak dan terlatih, kekuatan rohani yang ikhlas berkhidmat kerana Allah SWT serta kekuatan fikrah yang mampu menangkis cabaran era ledakan maklumat moden.
Selesai solat Jumaat, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyantuni kesemua 20 kontinjen PALAPES UA yang hadir dan meluangkan masa untuk sesi fotografi bersama para pegawai kadet.
Dalam perkembangan sama, Lembaga MIDF turut menyumbangkan zakat perniagaan berjumlah RM564,250 kepada MAIPs, sekali gus memperkukuh usaha institusi berkenaan dalam memperkasakan agenda kebajikan dan pembangunan masyarakat.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pengerusi Lembaga MIDF, Tan Sri Abd Rahman Mamat, kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MIDF, Azizi Mustafa, Pegawai-pegawai Utama UniMAP, Pengarah Pusat Islam UniMAP serta Ustaz Muhammad Adib Hassan.
Inisiatif berkenaan memperlihatkan komitmen berterusan MAIPs dalam memperkasa pembangunan modal insan serta menyantuni generasi muda yang bakal menjadi sebahagian daripada barisan pertahanan dan kepimpinan negara.

Sumbangan dan pengisian kerohanian tersebut turut menjadi suntikan semangat kepada para pegawai kadet PALAPES UA untuk terus menghayati semangat “Gagah Setia” serta melaksanakan amanah demi agama, bangsa dan negara.
















