Oleh: Ts. Dr. Isaudin Ismail & PM Ts. Dr. Siti Suhana Jamaian
MUAR, 2026 – Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus memperkasa agenda pembangunan mahasiswa apabila menganjurkan program keusahawanan komprehensif bagi meningkatkan kemahiran, kreativiti dan daya saing pelajar dalam mendepani dunia perniagaan yang semakin dinamik.
Program yang dilaksanakan dalam dua fasa itu menggabungkan bengkel interaktif dan pertandingan pembentangan idea perniagaan atau business pitching, sekali gus memberi peluang kepada mahasiswa bukan sahaja memahami asas keusahawanan, malah menguji keupayaan mereka mengaplikasikan ilmu dalam situasi perniagaan sebenar.
Fasa pertama, FAST Technopreneurship Workshop, berlangsung secara dalam talian pada 9 April 2026, manakala fasa kedua menerusi FAST BUSINESS PITCHING 2026 dilaksanakan secara fizikal di The Port, Perpustakaan Gunasama, Hab Pendidikan Tinggi Pagoh.

Penganjuran dua fasa ini memberi pendedahan menyeluruh kepada mahasiswa mengenai selok-belok dunia keusahawanan, termasuk proses membangunkan idea, mengenal pasti peluang perniagaan serta menyampaikan cadangan perniagaan secara lebih tersusun dan meyakinkan.
FAST Technopreneurship Workshop telah dirasmikan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FAST, Prof. Madya Ts. Dr. Siti Suhana Jamaian, dengan peserta didedahkan kepada tiga modul utama iaitu asas keusahawanan teknologi, pemasaran digital dan aplikasi e-dagang.
Selain pengetahuan asas, bengkel tersebut turut membekalkan peserta dengan teknik dan strategi penting dalam membangunkan serta membentangkan idea perniagaan kepada bakal pelabur, sekali gus membantu mahasiswa memahami kepentingan komunikasi dan penyampaian idea dalam dunia perniagaan sebenar.

Fasa kedua pula direalisasikan menerusi FAST BUSINESS PITCHING 2026 di bawah pimpinan penasihat program, Ts. Dr. Aida Safina Aridi, yang memberi peluang kepada mahasiswa menguji kemahiran keusahawanan menerusi aktiviti jualan sebenar melalui penyediaan gerai perniagaan siswa.
Pengalaman mengendalikan gerai memberi ruang kepada peserta mengaplikasikan kemahiran dalam urusan jual beli, pemasaran, pengurusan risiko dan kerja berpasukan, di samping menjalani latihan pembentangan idea secara intensif sebagai persediaan menghadapi pertandingan kemuncak.
Penglibatan beberapa tokoh usahawan industri sebagai penceramah dan juri jemputan turut memberikan nilai tambah kepada program apabila peserta berpeluang memperoleh pandangan dan pendedahan berkaitan realiti dunia keusahawanan daripada pihak yang mempunyai pengalaman dalam industri.

Secara keseluruhannya, pelaksanaan program dua fasa ini memberi pendedahan praktikal yang menyumbang kepada peningkatan kefahaman serta pemikiran kritis mahasiswa dalam bidang keusahawanan, selain membuka ruang kepada mereka untuk meneroka potensi perniagaan dan membina keyakinan sebagai bakal usahawan muda.
Inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen UTHM dalam melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah berupaya mencipta peluang kerjaya sendiri, berdaya saing serta bersedia mendepani realiti dan cabaran ekonomi moden. UTHM berharap usaha seperti ini dapat terus diperkasakan bagi melahirkan lebih ramai usahawan muda yang mampu bersaing di peringkat global.
#MySiswaNow
#MahasiswaBerimpak
#HEPAUTHM
#UTHMPrihatin
#FASTUTHM
#KeusahawananUTHM
#Technopreneurship
#BusinessPitching
#UsahawanMuda
#MahasiswaUsahawan












