Oleh: Ts. Dr. Isaudin Ismail & PM Ts. Dr. Siti Suhana Jamaian
MUAR, 11 April – Semangat menyambut Aidilfitri dalam suasana sihat dan ceria diterjemahkan menerusi Program Raya Fun Walk anjuran Kelab Sains dan Teknologi (STC) dengan kerjasama Fast Postgraduate Chapter (FPC), Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di UTHM Kampus Cawangan Pagoh, hari ini.
Program bertemakan ‘Raya Sihat, Raya Ceria’ itu bukan sekadar aktiviti riadah, malah menjadi platform memperkukuh hubungan silaturahim antara warga kampus dengan komuniti setempat menerusi penglibatan peserta daripada pelbagai lapisan umur.

Penganjuran program yang berlangsung pada 11 April 2026 itu bertujuan menggalakkan warga kampus dan masyarakat sekitar Pagoh mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat, di samping memanfaatkan suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri untuk mengeratkan hubungan sesama komuniti.
Lebih membanggakan, program berkenaan mendapat sambutan luar biasa dengan kira-kira 200 peserta mengambil bahagian, melibatkan warga FAST, Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) dan Pusat Pengajian Diploma (PPD), UTHM.
Penglibatan turut diperluas kepada institusi luar apabila peserta daripada Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail dan wakil International Islamic University Malaysia (IIUM) Kampus Pagoh bersama-sama memeriahkan acara, selain komuniti setempat dari Tangkak, Batu Pahat dan Simpang Renggam.
Majlis perasmian program disempurnakan oleh Prof. Ts. Dr. Abdul Mutalib Leman, yang Menjalankan Fungsi Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh, manakala Prof. Madya Ts. Dr. Noor Azura Awang, Dekan FAST, turut hadir bersama beberapa tetamu kehormat universiti.
Menariknya, konsep Raya Fun Walk kali ini tidak hanya menampilkan aktiviti berjalan kaki santai, sebaliknya turut menggabungkan elemen budaya dan tradisi Aidilfitri menerusi beberapa hentian unik yang disediakan sepanjang program.

Di hentian berkenaan, para peserta berpeluang menikmati juadah tradisional Hari Raya seperti sate, roti jala dan kuih-muih tradisional, sekali gus menjadikan aktiviti riadah lebih santai, meriah dan dekat dengan identiti budaya masyarakat Malaysia.
Penganjuran program ini turut memperlihatkan bagaimana aktiviti kemasyarakatan berasaskan kesihatan mampu menjadi medium penyatuan warga universiti dan masyarakat apabila peserta daripada institusi pendidikan serta komuniti setempat bersama-sama menyertai aktiviti dalam suasana harmoni.
Program berkenaan bukan sahaja menyokong usaha membudayakan gaya hidup sihat, malah memperkukuh jaringan kolaborasi antara institusi dan komuniti, selain memberikan ruang kepada mahasiswa untuk memainkan peranan secara langsung dalam menganjurkan program yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Pihak universiti berharap inisiatif seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan dijadikan acara tahunan yang dinantikan, sekali gus membuktikan bahawa mahasiswa mampu menjadi penggerak kepada program berimpak yang menyumbang kepada kesejahteraan, perpaduan dan keharmonian komuniti.
#MySiswaNow
#MahasiswaBerimpak
#HEPAUTHM
#UTHMPrihatin
#RayaSihatRayaCeria
#UTHMPagoh
#MahasiswaUntukMasyarakat













