Advertisement

PSKG 2026–2030: UUM Perkukuh Komitmen Melahirkan Graduan Berdaya Saing

Kuala Lumpur – Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menghadiri Persidangan Kebolehpasaran Graduan Kementerian Pendidikan Tinggi 2026 “Merapat Jurang, Melakar Peluang, Mencorak Graduan Masa Hadapan” dan Peluncuran Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan (PSKG) 2026-2030 yang telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir pada 20 Ogos lalu di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Majlis yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) serta rakan strategik Majlis Kebolehpasaran Graduan dan Kerjaya Universiti Awam Malaysia (MyGRAD) ini merupakan satu inisiatif strategik dalam memperkukuhkan agenda kebolehpasaran graduan di peringkat pendidikan tinggi negara, khususnya dalam memastikan graduan memiliki kompetensi, kemahiran dan kesiapsiagaan yang selari dengan keperluan industri serta perubahan landskap pekerjaan semasa.

Dalam ucapan Dr. Zambry menekankan bahawa perubahan teknologi, automasi, ekonomi digital dan tuntutan ESG (Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus) telah mengubah keperluan kemahiran tenaga kerja masa hadapan.

Sehubungan itu, kerajaan, universiti dan industri perlu bergerak secara strategik sebagai rakan bersama dalam membangunkan kompetensi graduan yang selari dengan keperluan industri serta pembangunan negara.

Beliau turut menegaskan bahawa kebolehpasaran graduan kini perlu dilihat sebagai agenda strategik negara yang berkait rapat dengan pembangunan bakat, daya saing ekonomi dan kemakmuran Malaysia.

UUM turut diwakili oleh Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri; Penolong Naib Canselor UUM COB, Prof. Dr. Selamah Maamor serta Pengarah Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG), Dr. Fikriyah Abdullah.

Dr. Ahmad Martadha berkata, penyertaan UUM dalam majlis ini mencerminkan komitmen universiti untuk terus menyokong agenda KPT dalam memperkukuhkan kebolehpasaran graduan serta memastikan pelajar UUM dilengkapi dengan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang relevan bagi menghadapi dunia pekerjaan.

Seiring dengan aspirasi tersebut, UUM menerusi PPKKG akan terus mempergiatkan pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan kerjaya dan kebolehpasaran graduan, termasuk program bersama industri, pensijilan profesional, latihan, pendedahan kerjaya serta pelbagai aktiviti yang memberi nilai tambah kepada mahasiswa sebelum mereka melangkah ke alam pekerjaan.

Pelaksanaan PSKG 2026–2030 diharap dapat memperkukuhkan sinergi antara KPT, institusi pendidikan tinggi dan pihak industri dalam melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing dan bersedia memenuhi keperluan pasaran pekerjaan masa hadapan.

Berita oleh: Anis Zulaikha Kamal

Gambar oleh: Ihsan UPNM dan Dr. Fikriyah Abdullah