Oleh: Mohd Khairul Effendi Che Wan & Muhammad Najib Othman
PAUH PUTRA, 22 Ogos 2026 – Seramai 240 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari tujuh sekolah menengah di sekitar Padang Besar, Perlis, berpeluang menyemarakkan impian untuk melangkah ke menara gading menerusi Program Inspirasi Gemilang SPM 2026 yang berlangsung di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), hari ini.
Program yang menghimpunkan pelajar Tingkatan Lima dari SMK Dato’ Jaafar Hassan, SMK Tengku Sulaiman, SMK Guar Nangka, SMK Mata Ayer, SMK Padang Besar Utara, SMK Raja Puan Muda Tuanku Fauziah dan SMK Beseri itu menjadi platform untuk memperkukuh persediaan akademik, motivasi serta keyakinan diri menjelang peperiksaan SPM yang bakal bermula Oktober ini.

Lebih bermakna, peserta bukan sahaja mengikuti pengisian program, malah dibimbing secara dekat oleh mahasiswa UniMAP yang bertindak sebagai fasilitator dan mentor. Interaksi tersebut memberi peluang kepada para pelajar untuk mendapatkan suntikan motivasi daripada mahasiswa selain merasai sendiri pengalaman serta suasana kehidupan di kampus.
Program berkenaan merupakan kesinambungan kepada Program Inspirasi Varsiti yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sejak 2025, dengan matlamat menyemai aspirasi pendidikan tinggi dalam kalangan pelajar sekolah serta membina keyakinan mereka untuk merancang masa depan selepas tamat persekolahan.
Bagi penganjuran kali ini, tumpuan khusus diberikan kepada persediaan akhir menghadapi SPM, termasuk aspek motivasi, kesiapsiagaan diri dan pembentukan minda positif agar para peserta lebih yakin menghadapi salah satu fasa penting dalam perjalanan pendidikan mereka.
Kerjasama strategik antara Majlis Amanah Rakyat (MARA), Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, UniMAP dan SEDAR, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Perlis, turut memperlihatkan komitmen bersama dalam memperluas akses bimbingan dan sokongan kepada generasi muda, khususnya calon SPM.
Menerusi pendekatan ini, pelajar bukan sahaja dibimbing untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, tetapi turut didedahkan kepada dunia pendidikan tinggi bagi membolehkan mereka melihat dengan lebih dekat laluan yang boleh diterokai selepas SPM.
Bagi UniMAP, program tersebut bukan sekadar sebuah program sehari, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada usaha membina hubungan dan bimbingan berterusan bersama para peserta. Universiti berhasrat untuk terus menjejaki perkembangan mereka sehingga berjaya merealisasikan impian melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah MARA, Dato’ Zulfikri bin Osman, dan turut dihadiri Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UniMAP, Prof. Madya Ir. Dr. Mohammad Syahmie Mohd Rasidi, serta Pengerusi SEDAR, Tn. Haji Ruzaini Rais.
Turut hadir ialah guru-guru pengiring daripada tujuh sekolah terlibat serta mahasiswa UniMAP yang memainkan peranan sebagai fasilitator dan mentor sepanjang program berlangsung.












