Advertisement

Ziarah Kasih UiTM Santuni Bakal Mahasiswa, Iringi Langkah Edriez ke Menara Gading

Muhammad Edriez bersama para tetamu dan wakil yang hadir ke Program Ziarah Kasih bergambar sambil memegang plakad, dengan bakul barangan bantuan di hadapan mereka.

Oleh: Mohd Azfar Syukri Yusien

RAWANG, 21 Ogos 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerusi Program Ziarah Kasih telah menyantuni bakal pelajar, Muhammad Edriez Shazni di kediamannya di Kampung Sungai Buaya, Rawang, Selangor sebagai sebahagian usaha membantu persediaannya sebelum memulakan pengajian di UiTM pada semester Oktober 2026.

Muhammad Edriez bakal mengikuti program Diploma Pengajian Perbankan di UiTM Cawangan Pahang, Kampus Raub. Lawatan berkenaan turut menjadi ruang untuk pihak universiti mendapatkan gambaran lebih dekat mengenai keperluan bakal pelajar serta memberikan sokongan bagi membantu persediaannya memasuki alam pengajian tinggi.

Delegasi UiTM diketuai oleh Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, dan disertai oleh Encik Mohd Rizal Nordin, Pengarah Bahagian Pentadbiran Strategik dan Sumber Manusia, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, serta wakil UiTM Shah Alam dan UiTM Cawangan Pahang, Kampus Raub.

Muhammad Edriez Shazni bersama delegasi Program Ziarah Kasih yang bertandang ke rumahnya di Kampung Sungai Buaya, Rawang, Selangor.

Turut hadir ialah Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Encik Akmal Zharif Ahmad Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Perkasa Siswa (YPS), Encik Hirman Awang @ Semail, bersama pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan Tinggi.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi menyatakan bahawa UiTM akan terus komited memastikan aspek kebajikan pelajar diberikan perhatian, khususnya bagi mereka yang memerlukan sokongan dalam membuat persediaan untuk memulakan pengajian.

“UiTM sentiasa komited dalam memastikan kebajikan dan keperluan pelajar diberikan perhatian sewajarnya. Usaha seperti Program Ziarah Kasih membolehkan universiti mendekati bakal pelajar dan keluarga secara langsung, memahami keperluan mereka serta memastikan bantuan yang bersesuaian dapat disalurkan bagi menyokong perjalanan pendidikan mereka,” katanya.

Dua orang pemuda duduk bersila dan mendengar perbualan bersama tetamu semasa Program Ziarah Kasih.
Muhammad Edriez Shazni bersama Encik Akmal Zharif Ahmad Kamal, Setiausaha Politik kepada YB Menteri Pendidikan Tinggi, ketika sesi ramah mesra sempena Program Ziarah Kasih di Kampung Sungai Buaya, Rawang.

Sementara itu, Encik Akmal Zharif Ahmad Kamal berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus komited dalam memastikan akses kepada pendidikan tinggi turut disokong oleh usaha memperkukuh kebajikan mahasiswa, khususnya bagi mereka yang memerlukan perhatian dan bantuan.

“KPT akan terus menyokong usaha yang memberi manfaat secara langsung kepada mahasiswa dan bakal mahasiswa. Kerjasama antara kementerian, institusi pendidikan tinggi serta rakan strategik amat penting bagi memastikan mereka bukan sahaja memperoleh akses kepada pendidikan, malah mempunyai sokongan yang diperlukan untuk meneruskan pengajian dengan baik,” katanya.

Dalam masa yang sama, Yayasan Perkasa Siswa turut menyampaikan sumbangan kepada Tuan Adriz Danish Tuan Hazli yang hadir bersama Muhammad Edriez semasa program berlangsung. Sumbangan tersebut disampaikan oleh Encik Akmal Zharif Ahmad Kamal dan disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif YPS, Encik Hirman Awang @ Semail.

Muhammad Edriez Shazni bersama rakannya, Tuan Adriz Danish Tuan Hazli, beramah mesra dengan YBrs. Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, dan Encik Akmal Zharif Ahmad Kamal, Setiausaha Politik kepada YB Menteri Pendidikan Tinggi, sempena Program Ziarah Kasih di Kampung Sungai Buaya, Rawang.

Program Ziarah Kasih mencerminkan pendekatan bersepadu antara UiTM, KPT dan YPS dalam memperkukuh jaringan sokongan kepada mahasiswa serta bakal mahasiswa, di samping memastikan aspek kebajikan terus diberikan perhatian dalam usaha mewujudkan persekitaran pendidikan tinggi yang inklusif dan prihatin.