oleh Suriati Ismail dan Anizan Md Noor
IPOH, 21 Ogos 2026 — Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus menunjukkan keprihatinan terhadap kebajikan bakal mahasiswa apabila Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) TNC (HEP&A), Prof. Dr. Norkhalid bin Salimin, menyantuni Nur Amira Hanisa binti Badrol Hisham di Ipoh yang bakal melanjutkan pengajian di UPSI.
Dalam kunjungan tersebut, Nur Amira Hanisa menerima sumbangan sebanyak RM500.00 daripada UPSI sebagai tanda keprihatinan universiti dalam membantu meringankan sedikit beban beliau dan keluarga sebelum memulakan pengajian.

Nur Amira Hanisa merupakan anak yang telah kehilangan bapa hampir tiga tahun lalu. Ibunya kini merupakan ibu tunggal tanpa sumber pendapatan tetap dan bergantung kepada pencen arwah suami bagi menyara kehidupan keluarga. Rombongan turut disertai Pegawai WEZAS yang mewakili UPSI bagi menyampaikan sumbangan berkenaan.

Prof. Dr. Norkhalid berkata, UPSI sentiasa mengambil berat keadaan pelajar dan keluarga mereka, khususnya mereka yang berdepan cabaran kehidupan.
“UPSI sentiasa prihatin terhadap kebajikan pelajar. Bantuan ini mungkin sederhana, tetapi kami berharap ia dapat meringankan sedikit beban Nur Amira dan ibunya serta memberi semangat kepada beliau untuk memulakan langkah baharu sebagai mahasiswa UPSI.”

Kunjungan ini mencerminkan komitmen UPSI untuk memastikan aspek kebajikan dan kesejahteraan pelajar terus diberi perhatian, selaras dengan usaha universiti mewujudkan persekitaran pendidikan yang prihatin dan menyokong kejayaan setiap mahasiswa.












