Advertisement

Delegasi UPSI Harumkan Nama Malaysia di Kem Antarabangsa Bahasa Jerman Ke-12, Di Da Nang, Vietnam

Oleh: Veshvinder Singh

DA NANG, VIETNAM 13 Ogos 2026 — Kem Antarabangsa Bahasa Jerman Ke-12 (12th International German Summer Camp) telah berjaya menghimpunkan seramai 79 orang pensyarah, guru serta pelajar dari enam buah negara Asia Tenggara iaitu Vietnam, Thailand, Malaysia, Indonesia, Laos dan Filipina. Program antarabangsa yang berlangsung selama empat hari bermula 10 hingga 13 Ogos 2026 ini diadakan bertempat di Da Nang, Vietnam.

Dalam suasana yang meriah dan penuh warna-warni kepelbagaian budaya, program ini memberi ruang serta peluang emas kepada para peserta untuk mengaplikasikan penggunaan bahasa Jerman di luar bilik darjah. Di samping meningkatkan penguasaan bahasa, kem ini turut menjadi platform kukuh dalam membina persahabatan antarabangsa serta saling mempelajari kebudayaan pelbagai negara.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Dr. Norkhalid Salimin menegaskan bahawa penyertaan mahasiswa UPSI dalam program sebegini selari dengan visi universiti untuk melahirkan graduan berdaya saing global.

“Penyertaan delegasi UPSI pada peringkat antarabangsa ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan penguasaan bahasa dan kemahiran berkomunikasi peserta, malah menjadi wadah penting untuk membentuk sahsiah mahasiswa yang berkeyakinan tinggi serta mempunyai pemikiran global. Pihak universiti sentiasa menyokong penuh program-program yang memberi impak positif dalam melahirkan modal insan berilmu, berbudaya dan mampu berdiri sama tinggi di pentas dunia,” kata beliau ketika mengulas mengenai pembabitan delegasi tersebut.

Pengisian Bengkel Interaktif dan Pencapaian Cemerlang Delegasi

Sepanjang program berlangsung, pelbagai pengisian dan bengkel bermanfaat telah disusun bagi memenuhi keperluan tenaga pengajar, pensyarah dan pelajar. Bagi tenaga pengajar dan pensyarah, mereka disajikan dengan bengkel Communicative Grammar Delivery – Less Explanation, More Exploration yang dikendalikan oleh Frau Muriel Hensch-Coulon daripada Goethe-Institut. Bengkel ini mendedahkan pendekatan baharu dalam pengajaran tatabahasa berasaskan penerokaan dan elemen interaktif.

Sementara itu, para pelajar menyertai tiga bengkel khas berteraskan kemahiran bahasa, komunikasi dan kreativiti iaitu Show Confidence Instead of Counting Words – Rhetoric and Body Language in German, Exploring Vietnam – Experiencing Da Nang dan Podcast Lab – Sounds of Summer.

Delegasi bertukar-tukar pendapat tentang perbandingan budaya Malaysia -Vietnam

Kecemerlangan delegasi UPSI turut terbukti apabila wakil pelajar Malaysia berjaya meraih Tempat Kedua dalam aktiviti interaktif  Sprachspiele zum Kennenlernen (Permainan Bahasa untuk Perkenalan). Kejayaan ini menonjolkan penguasaan bahasa Jerman yang baik serta keyakinan tinggi mahasiswa UPSI semasa berinteraksi dengan peserta antarabangsa.

Bengkel-bengkel tersebut dikendalikan oleh pakar dan tenaga pengajar berpengalaman termasuk Herr Eric Binner dari German Academic Exchange Service (DAAD), Encik Pham Quang Hien dan Cik Nguyen Thi Lan dari Hanoi University serta Cik Tran Luong Anh Thu dan Cik Doan Hoang Thuy Tien dari University of Social Sciences and Humanities, Ho Chi Minh City.

Malaysia Mempersembahkan Budaya di Pentas Antarabangsa

Malam kebudayaan yang diadakan pada malam pertama kem menyaksikan suasana penuh kebanggaan apabila setiap negara peserta mempersembahkan keunikan tarian dan lagu tradisional masing-masing.

Veshvinder Singh menyampaikan nyanyian solo Ghazal

Mewakili Malaysia dan UPSI, dua orang delegasi mahasiswa iaitu Shavitra Singaravelu dan Veshvinder Singh a/l Jagjeet Singh bersama pensyarah pengiring merangkap pembimbing, Dr. Robe’ah binti Yusuf telah menampilkan persembahan yang memukau dengan mengetengahkan warisan kebudayaan masyarakat India Malaysia.

Shavitra Singaravelu memukau penonton melalui persembahan tarian klasik Bharatanatyam, manakala Veshvinder Singh menyampaikan nyanyian solo Ghazal berinspirasikan Punjabi. Kehadiran mereka yang anggun dan segak berbusana tradisional etnik India Malaysia berjaya menarik perhatian serta pujian daripada peserta negara luar.

Shavitra Singaravelu memukau penonton melalui persembahan tarian klasik Bharatanatyam

Pensyarah Pengiring UPSI, Dr. Robe’ah binti Yusuf menyatakan bahawa penyertaan dalam program ini memberikan impak mendalam bukan sahaja kepada penguasaan akademik, malah dari sudut pembentukan jati diri dan diplomasi budaya.

“Program ini memberikan impak yang amat besar kepada para pelajar. Pencapaian seperti Tempat Kedua dalam aktiviti Sprachspiele zum Kennenlernen serta keberanian mempersembahkan warisan kebudayaan terbukti meningkatkan keyakinan diri mereka. Mereka bukan sahaja dapat menguji dan meningkatkan kemahiran bahasa Jerman secara praktikal tetapi juga berpeluang bertindak sebagai ‘duta kecil’ Malaysia di pentas antarabangsa,” jelas Dr. Robe’ah.

Sejurus persembahan tamat, delegasi Malaysia dihujani pelbagai soalan daripada peserta antarabangsa yang teruja untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan kepelbagaian bangsa, keunikan perayaan, makanan tradisional, amalan budaya serta tempat-tempat menarik di Malaysia.

Pengalaman Pembelajaran Merentasi Sempadan

Pada petang hari kedua, para peserta diuji melalui Pertandingan Bahasa dan Kebudayaan yang menilai kerja berpasukan, pengetahuan mengenai negara Jerman serta kemahiran berucap di hadapan khalayak. Selain pertandingan, peserta turut dibawa meneroka keindahan sejarah dan alam semula jadi sekitar Da Nang dan Hoi An termasuk lawatan ke bandar bersejarah Hoi An, Marble Mountains (Ngu Hanh Son) dan Muzium Da Nang.

Pada majlis penutupan, delegasi Malaysia sekali lagi mempamerkan identiti budaya negara apabila anggun memperagakan busana Batik Malaysia sewaktu menerima sijil penyertaan serta penghargaan atas penglibatan aktif mereka sepanjang kem berlangsung.

Kem Antarabangsa Bahasa Jerman Ke-12 ini akhirnya melabuhkan tirai dengan meninggalkan kenangan manis dan impak yang mendalam. Pengalaman di Da Nang membuktikan bahawa bahasa bukan sekadar untuk dipelajari tetapi menjadi jambatan yang menyatukan hati, merapatkan persahabatan serta menghubungkan manusia dan budaya merentasi sempadan.