Oleh: Mohd Azfar Syukri Yusien
NILAI, 13 OGOS 2026 – Pasukan Debat Bahasa Melayu Universiti Teknologi MARA (UiTM) berjaya mara ke peringkat separuh akhir Pertandingan Debat Piala Ketua Audit Negara 2026 selepas menewaskan Universiti Malaya (UM) dalam saingan suku akhir yang berlangsung di Auditorium Ahmad Noordin, Akademi Audit Negara, Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan.
Kejayaan tersebut meneruskan prestasi baik pasukan UiTM yang menamatkan empat pusingan awal pertandingan di kedudukan pertama daripada 20 pasukan universiti yang bertanding. UiTM mencatat empat kemenangan dengan 11 juri, margin 13.01 dan mengumpul 1045.33 markah sebelum layak ke pusingan suku akhir sebagai pasukan pilihan pertama.
Pasukan UiTM diwakili oleh Muhammad Sufi Irfan bin Ismail, Muhammad Iskandar bin Mokhtar Affandi, Nurul Fatiha Izzaty binti Osman dan Nurul Syahadah binti Azilin yang membawa cabaran universiti dalam pertandingan yang berlangsung dari 12 hingga 15 Ogos 2026.

Pada peringkat suku akhir, UiTM yang berada di kedudukan pertama selepas empat pusingan awal dipertemukan dengan UM yang menduduki kedudukan kelapan. Kemenangan ke atas UM memastikan UiTM terus melangkah dalam pertandingan dan menempah tempat dalam kelompok empat pasukan terbaik.
UiTM seterusnya dijadualkan bertemu Universiti Putra Malaysia (UPM) pada peringkat separuh akhir, manakala satu lagi perlawanan separuh akhir menyaksikan Universiti Malaysia Sabah (UMS) berdepan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Pencapaian pasukan UiTM sehingga ke peringkat separuh akhir mencerminkan komitmen dan usaha para pendebat dalam membawa cabaran universiti di pentas debat antara universiti. Seluruh warga UiTM mendoakan kejayaan pasukan dalam meneruskan saingan di Pertandingan Debat Piala Ketua Audit Negara 2026.












