Advertisement

1,000 Pelajar UTM Dalami Dunia Sukan Permotoran bersama Tunku Panglima Johor dan Tunku Putera Johor

Oleh Nazratul Hazirah Rushdan

JOHOR BAHRU, 13 Ogos – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerima kunjungan YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor, dan YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor, dalam program Motorsports Talk 2.0 yang berlangsung di Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZS), UTM Johor Bahru.

Program anjuran UTM dengan kerjasama Johor Motorsports Racing (JMR) dan QSR Brands menghimpunkan kira-kira 1,000 pelajar bagi memberi pendedahan tentang ekosistem sukan permotoran berprestasi tinggi serta nilai, kemahiran dan disiplin yang diperlukan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Turut hadir ialah Timbalan-Timbalan Naib Canselor UTM, ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti, dekan serta pegawai kanan Universiti.

Dalam sesi perkongsian tersebut, Tunku Panglima Johor dan Tunku Putera Johor berkongsi pengalaman serta perjalanan JMR dalam arena sukan permotoran antarabangsa, termasuk kejayaan pasukan itu meraih kemenangan dalam kategori Pro-Am pada perlumbaan CrowdStrike 24 Hours of Spa di Belgium.

Tunku Panglima Johor menekankan kepentingan persediaan fizikal dan mental dalam membuat keputusan kritikal di bawah tekanan, khususnya dalam perlumbaan ketahanan yang memerlukan fokus, disiplin dan daya tahan yang tinggi.

“Persediaan bermula jauh sebelum kami masuk ke dalam kereta. Selama bertahun-tahun, kami berlatih untuk menghadapi situasi seperti ini, bukan sahaja secara fizikal tetapi juga dari segi mental. Setiap perlumbaan disokong oleh perancangan yang telah dibincangkan bersama pasukan, jadi kami memahami dengan jelas apa yang perlu dilakukan.

“Keputusan pantas di dalam kereta lahir daripada gabungan naluri, pengalaman dan pertimbangan terhadap tindakan yang paling tepat pada ketika itu. Namun, matlamat akhirnya tetap sama, iaitu memberikan hasil terbaik kepada pasukan dan memastikan objektif bersama tercapai,” titah baginda.

Perkongsian tersebut memperlihatkan bahawa kejayaan dalam sukan permotoran bukan semata-mata bergantung kepada kelajuan dan prestasi di litar, sebaliknya turut menuntut disiplin, ketahanan mental, kerja berpasukan, pemikiran strategik, inovasi serta keupayaan membuat keputusan dalam situasi bertekanan tinggi.

Para pelajar turut berpeluang berinteraksi secara langsung bersama Tunku Panglima Johor dan Tunku Putera Johor menerusi sesi soal jawab, termasuk berkaitan cabaran untuk bersaing dalam perlumbaan 24 Hours of Le Mans serta pengalaman dan dinamik perlumbaan bersama adik-beradik.

Dalam ucapan pembukaan, Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim berkata, sukan permotoran bukan sekadar berkaitan kelajuan dan kemenangan, malah merupakan satu ekosistem pelbagai disiplin yang menggabungkan teknologi, data, strategi, kejuruteraan, pengurusan, komunikasi dan perniagaan dalam persekitaran berprestasi tinggi.

“Tanggungjawab UTM bukan sahaja untuk melahirkan graduan yang dilengkapi dengan pengetahuan yang diperoleh di dalam dewan kuliah, tetapi juga individu yang mampu mengaplikasikan pengetahuan tersebut untuk menyelesaikan masalah dunia sebenar,” katanya.

Ucapan pembukaan disampaikan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim.

Beliau berkata, perjalanan JMR dalam arena sukan permotoran membuktikan kepentingan disiplin, keberanian, kerja berpasukan, keupayaan membuat keputusan di bawah tekanan dan daya tahan, iaitu nilai yang penting dalam membentuk pelajar yang berdaya tahan serta berdaya saing di peringkat global.

JMR mencipta sejarah pada tahun ini menerusi penampilan sulungnya dalam perlumbaan 24 Hours of Le Mans dengan menduduki tempat ke-14 dalam kelas LMGT3, sebelum muncul sebagai pasukan Malaysia pertama memenangi kategori Pro-Am dalam perlumbaan CrowdStrike 24 Hours of Spa-Francorchamps di Belgium.

Seiring dengan perkembangan industri tersebut, Naib Canselor turut menyatakan tiga bidang yang berpotensi untuk memperkukuhkan kerjasama antara UTM dan JMR, iaitu penyelidikan dalam teknologi sukan permotoran, latihan amali serta pendedahan industri kepada pelajar, dan perkongsian pengetahuan, pembangunan bakat serta inovasi.

Program berkenaan turut membuka perspektif pelajar terhadap pelbagai peluang kerjaya dalam industri sukan permotoran yang merangkumi bidang analisis data, kecerdasan buatan, pengurusan, komunikasi, pemasaran, perniagaan, psikologi, keselamatan dan pembangunan bakat.

Kereta lumba JMR dipamerkan di ruang legar Perpustakaan Raja Zarith Sofiah.

Tunku Panglima Johor dan Tunku Putera Johor turut meluangkan masa berinteraksi dengan peserta untuk menandatangani poskad.

KFC Malaysia, yang dikendalikan oleh QSR Brands, turut menaja makanan dan minuman kepada para peserta sepanjang program berlangsung.

Melalui penganjuran ini, UTM terus memperluaskan peluang pembelajaran berasaskan pengalaman dengan menghubungkan pelajar kepada industri, kepakaran dan pengalaman dunia sebenar bagi mempertingkat pengetahuan, kemahiran serta daya tahan yang diperlukan untuk bersaing di pentas global.