Advertisement

Mahasiswa FSKTM UTHM terajui transformasi digital sektor awam Johor menerusi revolusi kecerdasan buatan

Oleh: Prof. Madya Dr. Muhaini binti Othman

BATU PAHAT – Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus memacu agenda pendigitalan negeri menerusi penganjuran Bengkel Pembangunan Projek AI Produktiviti Negeri Johor 2026 bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) pada 11 Mei 2026 yang lalu.

Bengkel yang dirasmikan oleh Encik Mohd Azwan Mohd Salleh, Pengarah MPC Wilayah Selatan di kampus induk UTHM ini merupakan manifestasi kerjasama strategik yang dimulakan pada 13 Februari 2026 melibatkan Yang Berhormat Dato’ Haji Ismail Bin Haji Abu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan).

Sesi perbincangan awal tersebut turut dihadiri oleh pihak MPC Wilayah Selatan serta wakil-wakil daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi merangka pelan integrasi Kecerdasan Buatan (AI) di seluruh jabatan kerajaan Negeri Johor.

Inisiatif berimpak tinggi ini dirangka khusus bagi menyahut Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) dengan mengintegrasikan teknologi terkini ke dalam sistem penyampaian agensi kerajaan tempatan.

Keunikan program ini terletak pada penglibatan 13 orang pelajar tahun akhir FSKTM yang menggalas tanggungjawab besar dalam membangunkan 10 tajuk projek AI yang bersifat problem-solving.

Sepanjang bengkel intensif tersebut berlangsung, para peserta telah bekerjasama memuktamadkan Dokumen Keperluan Projek (DKP) AI serta menjalankan analisis data awalan sebagai persediaan fasa pembangunan sistem.

Semua cabaran dan isu operasi sebenar yang dihadapi oleh agensi kerajaan telah diangkat menjadi teras utama Projek Sarjana Muda (PSM) pelajar di bawah bimbingan rapi pakar akademik universiti.

Program ini turut menghimpunkan barisan pemegang taruh (stakeholders) utama termasuklah Pejabat Daerah Pontian, Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Johor melalui Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Bahagian Khidmat Pengurusan serta Unit Keselamatan & Bencana Alam, selain INTAN Kampus Wilayah Selatan (IKWAS).

Kejayaan teknikal sepanjang sesi disokong penuh oleh 11 perunding teknikal Jabatan Kejuruteraan Perisian (JKP) FSKTM yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Muhaini Othman dan Prof. Madya Dr. Nureize Arbaiy, serta mendapat bimbingan industri daripada Puan Nur Arina Ramlee dari Cybersolution Technologies Sdn. Bhd.

Dekan FSKTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Farhan Bin Md. Fudzee berkata, sinergi ini membuktikan keupayaan mahasiswa UTHM dalam menghasilkan solusi teknologi yang praktikal untuk kegunaan masyarakat dan landskap industri masa hadapan.

Beliau turut menegaskan bahawa pihak fakulti mahu melahirkan graduan yang bukan sekadar faham teori, tetapi mampu menterjemahkan teknologi AI secara nyata untuk memudahkan urusan jabatan kerajaan.

Kerjasama strategik ini secara tidak langsung memberikan impak dan manfaat timbal balik yang besar terutamanya dalam aspek pendedahan industri dan pengalaman dunia sebenar kepada mahasiswa tahun akhir.

Melalui pelaksanaan komprehensif ini, Johor dijangka bakal muncul sebagai negeri perintis yang berjaya memanfaatkan ekosistem AI dalam pengurusan sektor awam.

Secara keseluruhannya, inisiatif murni ini berjaya memperkukuh hubungan sinergi universiti-kerajaan sekali gus membuktikan komitmen jitu UTHM dalam melahirkan bakat digital yang kompeten serta berdaya saing tinggi.