Oleh: Prof. Madya Ts. Dr. Raja Zuraidah binti Raja Mohd Rasi
Pelajar Program Sarjana Sains Pengurusan Industri (MPE), Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menyertai Program Mobiliti Antarabangsa MACCA #8 yang berlangsung di Universitas Muhammadiyah Makassar (UNISMUH), Indonesia, bermula dari 31 Julai hingga 7 Ogos 2026.
Program tersebut turut melibatkan penyertaan daripada beberapa institusi pengajian tinggi terkemuka dunia, termasuk Seoul National University (Korea Selatan), Universiti Sains Malaysia (USM), Thaksin University (Thailand) dan Yala Rajabhat University (Thailand).
Penyertaan ini membuka peluang kepada para pelajar untuk membina jaringan akademik yang lebih luas serta memperkukuhkan hubungan kerjasama antarabangsa.
Sepanjang program berlangsung, para peserta telah mengikuti pelbagai aktiviti yang merangkumi sesi perkongsian ilmu, program silang budaya, lawatan akademik, aktiviti khidmat masyarakat (CSR) dan sesi interaksi bersama pelajar antarabangsa.
Lebih membanggakan, wakil MPE UTHM berjaya meraih tempat pertama dalam pertandingan Poster and Innovation Pitch Competition 2026, sekali gus membuktikan keupayaan pelajar UTHM untuk bersaing dan menyerlah di peringkat antarabangsa.

Penyertaan dalam program ini memberikan impak yang besar kepada para pelajar, khususnya dalam meningkatkan kemahiran komunikasi, kepimpinan, pemikiran kritis dan kebolehan untuk menyesuaikan diri dalam persekitaran global. Selain itu, pengalaman ini turut membantu membentuk graduan yang lebih berdaya tahan, kreatif dan inovatif.
Bagi UTHM, program ini menjadi platform penting dalam memperkukuhkan agenda pengantarabangsaan universiti, di samping memperluaskan jaringan kerjasama strategik dalam bidang akademik, penyelidikan dan pembangunan modal insan. Kejayaan yang diraih oleh pelajar MPE turut membuktikan bahawa graduan UTHM mampu berdiri seiring dengan mahasiswa dari institusi terkemuka dunia.
Program MACCA #8 bukan sekadar platform pertukaran ilmu, malah menjadi medan untuk membentuk pemimpin masa hadapan yang memiliki pengetahuan, kemahiran dan perspektif global.
“Dari UTHM ke persada dunia.”
MACCA8 #MPEUTHM #FPTPUTHM #UTHMGlobal #UNISMUHMakassar #StudentMobility #GlobalEducation #InnovationPitchCompetition2026 #UTHMDiPersadaDunia













