Advertisement

TRHEP Turun Dapur Semarak Kebersamaan Warga UiTM Melaka

Oleh: Mohd Azfar Syukri Yusien

ALOR GAJAH, 20 November 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka telah mengadakan Program TRHEP Turun Dapur bertemakan Santuni Siswa, Semarak Ukhuwah bertempat di Dapur Siswa Madani, Kolej Tun Ali. Program ini menjadi platform untuk merapatkan hubungan antara pihak pengurusan universiti dengan mahasiswa menerusi aktiviti memasak dan perkongsian makanan dalam suasana santai.

Program tersebut disertai oleh Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM Cawangan Melaka, Prof. Madya Ts. Dr. Nadzri bin Mohd Sharif, yang turut mengambil bahagian dalam penyediaan hidangan Tom Yam Ayam untuk dikongsi bersama warga kolej. Penglibatan beliau secara langsung mencerminkan pendekatan kepimpinan yang dekat dengan mahasiswa melalui aktiviti kemasyarakatan yang sederhana tetapi bermakna.

Dr. Nadzri (kanan) bersama seorang warga UiTM Cawangan Melaka ketika menyediakan hidangan Tom Yam Ayam sempena Program TRHEP Turun Dapur di Kolej Tun Ali.

Sepanjang program berlangsung, suasana Dapur Siswa Madani diserikan dengan interaksi mesra antara Timbalan Rektor dan mahasiswa yang hadir. Aktiviti memasak dan perkongsian makanan ini bukan sahaja mewujudkan suasana kebersamaan, malah membuka ruang komunikasi dua hala secara tidak formal antara mahasiswa dengan pihak pengurusan universiti.

Warga UiTM Cawangan Melaka berganding bahu dalam membuat persiapan awal penyediaan hidangan Tom Yam Ayam sempena Program TRHEP Turun Dapur di Dapur Siswa Madani, Kolej Tun Ali.

Menurut Dr. Nadzri, aspek kebajikan mahasiswa, khususnya keperluan makanan, perlu sentiasa diberikan perhatian dalam usaha mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif.

“Makanan merupakan satu keperluan asas, bukannya kemewahan. Setiap mahasiswa sewajarnya mempunyai akses kepada makanan yang mencukupi bagi membolehkan mereka memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap pengajian. Melalui program seperti ini, kita bukan sahaja berkongsi rezeki, malah berpeluang mendekati mahasiswa dan memahami keperluan mereka dengan lebih dekat,” katanya.

Penganjuran program ini turut mengetengahkan peranan Dapur Siswa Madani sebagai ruang yang bukan sahaja menyediakan kemudahan memasak, tetapi juga menggalakkan interaksi sosial, perkongsian pengalaman dan semangat kekitaan dalam kalangan warga kolej. Pendekatan ini selaras dengan konsep Masak, Kongsi, Santuni dan Prihatin yang menjadi teras pelaksanaan Program TRHEP Turun Dapur.

Sekumpulan mahasiswa UiTM Cawangan Melaka merakamkan kenangan sempena Program TRHEP Turun Dapur di Kolej Tun Ali.

Program berkenaan merupakan sebahagian daripada siri aktiviti yang dijadualkan berlangsung di beberapa kolej kediaman UiTM Cawangan Melaka. Selepas penganjuran di Kolej Tun Ali pada 20 November 2026, program ini dijadualkan diteruskan di Dapur Siswa Madani, Kolej Dang Merduwati pada 27 November 2026 dan Kolej Jebat pada 4 Disember 2026.

Secara keseluruhannya, penganjuran Program TRHEP Turun Dapur memperlihatkan komitmen UiTM Cawangan Melaka dalam memperkukuh hubungan antara pihak pengurusan universiti dengan mahasiswa melalui pendekatan yang lebih mesra dan inklusif. Inisiatif seumpama ini diharapkan dapat terus menyemarakkan semangat kebersamaan, keprihatinan dan budaya saling menyantuni dalam kalangan warga universiti.

Total Views: 1