Oleh : Nur Aimi Muslim


PAUH PUTRA, 23 November 2026 – Kesedaran terhadap kepentingan kesihatan reproduktif dan sosial dalam kalangan mahasiswa terus diperkasa apabila seramai 100 pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyertai Program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI) UniMAP 2026, sekali gus memperkukuh peranan golongan mahasiswa sebagai pemangkin penyebaran maklumat kesihatan yang tepat dan bertanggungjawab.
Program yang berlangsung di Dewan Keikhlasan, Bangunan Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, Kampus UniMAP Pauh Putra itu memberi penekanan kepada peningkatan pengetahuan, pembentukan sikap positif serta keupayaan mahasiswa membuat keputusan secara bijak dalam menangani isu berkaitan kesihatan reproduktif dan sosial.
Menariknya, penganjuran program itu turut digerakkan melalui penglibatan 28 fasilitator mahasiswa yang telah mengikuti latihan Training of Trainers (ToT) pada 18 November lalu. Mereka berperanan sebagai penggerak pendidikan rakan sebaya dalam membantu menyampaikan maklumat serta meningkatkan kesedaran mengenai aspek kesihatan reproduktif dan sosial dalam komuniti kampus.
Pendekatan pendidikan rakan sebaya ini dilihat mampu mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih terbuka dan interaktif, selain memberi ruang kepada mahasiswa untuk berkongsi pengetahuan, memahami isu yang dihadapi serta mendapatkan panduan daripada sumber yang berautoriti.
Pengarah Pusat Kaunseling UniMAP, Profesor Madya Ir. Dr. Mohd Fatullah Ghazli berkata, pendedahan berkaitan kesihatan reproduktif dan sosial amat penting bagi memastikan mahasiswa mempunyai pengetahuan yang tepat serta mampu membuat keputusan yang bijak dan bertanggungjawab dalam kehidupan seharian.

Beliau berkata, mahasiswa bukan sahaja perlu mempunyai kesedaran untuk menjaga kesejahteraan diri, malah wajar memainkan peranan sebagai penyampai maklumat yang sahih dan rakan sokongan positif dalam membantu meningkatkan kesedaran dalam kalangan komuniti mahasiswa.
Sepanjang program, peserta mengikuti sesi perkongsian ilmu, aktiviti interaktif dan pembelajaran secara berkumpulan yang dikendalikan oleh jurulatih utama terdiri daripada Pegawai Psikologi Pusat Kaunseling UniMAP dan Pegawai Perubatan Pusat Kesihatan Universiti. Gabungan kepakaran dalam bidang psikologi, kaunseling dan perubatan membolehkan pelbagai aspek kesihatan reproduktif dan sosial dibincangkan secara lebih menyeluruh.
Program anjuran Pusat Kaunseling UniMAP (PUSKA) dan Pusat Kesihatan UniMAP dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Perlis itu merupakan antara inisiatif universiti dalam memperkukuh pembangunan mahasiswa yang seimbang dari aspek intelektual, fizikal, emosi dan sosial.
Melalui PEKERTI 2026, UniMAP terus komited melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai kesedaran kendiri, berpengetahuan serta mampu menjadi agen perubahan positif dalam membentuk komuniti kampus yang sihat, sejahtera dan bertanggungjawab.
















