Oleh: Mohd Rizal Nordin
SONGKHLA, 22 Oktober 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerusi peranan proaktif penggerak belia Kelab HEALX di bawah inisiatif induk U-CARE: Empowering Youth Against HIV 2026 telah berjaya meluaskan liputan sinergi kesihatan awam di persada antarabangsa menerusi siri kunjungan hormat ke Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla serta siri wacana strategik bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Hatyai, Thailand, baru-baru ini.
Siri wacana diplomatik dan khidmat kemasyarakatan ini bermatlamat melonjakkan kepimpinan mahasiswa dalam mendalami strategi intervensi komuniti ataupun community-based intervention di samping menerokai amalan terbaik pengurusan kes dan protokol pencegahan HIV/AIDS menerusi sesi perbincangan meja bulat bersama kepimpinan agensi tempatan serta antarabangsa.
Sesi dialog di Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla telah dipengerusikan oleh Konsul I, Tuan Muhamad Danial Atif Nasiren, diiringi Konsul III, Tuan Mohamad Ridzuan Zainon serta Naib Konsul, Tuan Sufian Othman. Pembentangan agenda U-CARE yang disempurnakan oleh Ketua Delegasi UiTM, Dr. Nurfazlinda Md Shah diselangi perbincangan interaktif mahasiswa.

Pihak konsulat melahirkan rasa kagum terhadap keterlibatan proaktif belia UiTM dalam wacana antarabangsa dan menyasarkan wilayah Narathiwat, Yala, serta Pattani sebagai lokasi berpotensi bagi penganjuran program advokasi kesihatan belia akan datang.

Misi penandaarasan diteruskan menerusi sesi pertukaran ilmu dan diplomasi kesihatan bersama dua pertubuhan komuniti terkemuka Thailand, iaitu AIDS Healthcare Foundation (AHF) Thailand yang disampaikan oleh Pengarah Program Negara, Kritsiam (Jack) Arayawongchai, serta Persatuan Rainbow Sky Thailand (RSAT) oleh Pengarahnya, Warawut Bunsirithanaroj.

Usai sesi perbincangan dan pertukaran pandangan, delegasi UiTM bersama wakil penuntut Kelab HEALX mengadakan lawatan penandaarasan ke Klinik Makmal Perubatan RSAT cawangan Hat Yai demi mengkaji model penyampaian perkhidmatan kesihatan awam untuk diadaptasi mengikut acuan tempatan di Malaysia.

Turut hadir memberikan sokongan ialah Pengarah Bahagian Pentadbiran Strategik dan Sumber Manusia Jabatan Hal Ehwal Pelajar UiTM, Encik Mohd Rizal Nordin. Kejayaan siri wacana dwisektor ini menterjemahkan komitmen padu UiTM dalam memantapkan diplomasi kesihatan awam, kepimpinan belia, serta jaringan khidmat komuniti rentas sempadan.














