Advertisement

TISSA-UUM Lakar Kecemerlangan Dalam Deloitte Challenge 2026 – MySiswaNow

Berita dan Gambar oleh TISSA UUM

KUALA LUMPUR: Tunku Puteri Intan Safinaz School of Accountancy (TISSA-UUM), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus membuktikan kecemerlangan pelajarnya di peringkat kebangsaan apabila meraih beberapa pencapaian membanggakan dalam Deloitte Tax Challenge 2026 dan Deloitte Audit Business Challenge (DABC) 2026.

Kejayaan paling cemerlang diraih menerusi Team Veritas, pasukan kolaborasi UUM dan Universiti Sains Malaysia (USM), yang dinobatkan sebagai Juara Deloitte Audit Business Challenge 2026. Pasukan tersebut dianggotai oleh dua pelajar latihan industri UUM dan seorang pelajar USM.

Kemenangan ini mencerminkan keupayaan pelajar UUM untuk bersaing secara kompetitif, mengaplikasikan pengetahuan akademik serta menunjukkan kemahiran analitikal, penyelesaian masalah dan kerja berpasukan dalam menghadapi cabaran dunia perniagaan sebenar.

Sementara itu, dalam Deloitte Tax Challenge 2026, pasukan UUM yang dikenali sebagai Quadra Quesadilla berjaya meraih Tempat Ketiga (2nd Runner-up) bagi Kategori Berpasukan.

Pasukan tersebut dianggotai oleh empat pelajar UUM, iaitu Ivan Lim Zhi Hong, Ashley Cheah Zi Yen, Gursharan Kaur Sandhu dan Aleecya Angel Stancy.

Kecemerlangan UUM turut diteruskan dalam Kategori Individu apabila Teoh Chia Wei berjaya meraih Tempat Ketiga (2nd Runner-up), sekali gus membuktikan kemampuan pelajar UUM untuk menyerlah dalam pertandingan profesional yang menguji pengetahuan percukaian, pemikiran kritis dan kemahiran komunikasi.

Pertandingan anjuran Deloitte ini menyediakan platform kepada mahasiswa untuk menguji pengetahuan dan kemahiran profesional, di samping memperoleh pendedahan kepada situasi sebenar dalam industri perakaunan, pengauditan dan percukaian.

Pencapaian tersebut juga memperlihatkan keberkesanan pendekatan pembelajaran TISSA-UUM yang menekankan keseimbangan antara kecemerlangan akademik, pembangunan kemahiran profesional dan hubungan strategik bersama industri.

Seluruh warga TISSA-UUM merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada semua pelajar yang telah mengharumkan nama universiti menerusi pencapaian ini.

Kejayaan ini diharapkan menjadi inspirasi kepada seluruh warga pelajar TISSA-UUM untuk terus berusaha, berdaya saing dan mencipta lebih banyak kejayaan pada masa hadapan, sekali gus memperkukuh reputasi UUM sebagai institusi pendidikan tinggi yang melahirkan graduan berkualiti dan berdaya saing di peringkat nasional serta antarabangsa.

Total Views: 1