Advertisement

Pasukan UTHM raih tempat ketiga dalam dua kategori Selangor Advanced Skills 2026

Oleh: Ts. Dr. Zurina binti Yasak dan Encik Mohd Faiz bin Md Adnan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus mengukuhkan reputasinya dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal apabila berjaya meraih tempat ketiga dalam dua kategori pertandingan menerusi penyertaan dalam Selangor Advanced Skills 2026.

Program yang berlangsung pada 11 hingga 14 November 2026 di Setia City Convention Centre, Selangor itu diadakan bersempena dengan Selangor Education Summit 2026 sebagai platform untuk mengetengahkan kemahiran teknikal, kreativiti dan keupayaan penyelesaian masalah dalam kalangan peserta.

UTHM diwakili oleh empat orang pelajar daripada program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Penyelenggaraan Sistem Elektrik, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), iaitu Muhammad Husnul bin Shalahuddin, Muhammad Hedrysham bin Mohd Nizam, Syamel Adam bin Ali dan Mohammad Zaim bin Mohammad Amin.

Pasukan ini dibimbing oleh dua orang jurulatih, iaitu Encik Mohd Faiz Md Adnan dan Ts. Dr. Khairul Rijal bin Wagiman, yang memainkan peranan penting dalam menyediakan peserta menghadapi cabaran pertandingan.

Sepanjang program tersebut, peserta mengambil bahagian dalam pertandingan Festo Mechatronics dan Siemens Industrial Control yang menguji pengetahuan, kemahiran teknikal serta kebolehan mengendalikan sistem dan menyelesaikan tugasan berasaskan situasi industri.

Pertandingan berkenaan menyaksikan penyertaan 15 pasukan, termasuk wakil daripada institusi latihan kemahiran dan teknikal terkemuka seperti ADTEC JTM, CIAST dan German-Malaysian Institute (GMI).

Persaingan yang melibatkan institusi-institusi berpengalaman itu memberikan peluang kepada peserta UTHM untuk mengukur tahap keupayaan mereka dalam persekitaran yang kompetitif dan mencabar.

Penyertaan dalam pertandingan ini juga memberi pendedahan kepada pelajar tentang keperluan bekerja di bawah tekanan, membuat keputusan dengan tepat serta menyelesaikan masalah dalam pelbagai keadaan, khususnya yang menyerupai suasana kerja sebenar.

Hasil kesungguhan dan persediaan yang dilaksanakan, pasukan UTHM berjaya memperoleh tempat ketiga bagi kategori Festo Mechatronics dan turut meraih tempat ketiga bagi kategori Siemens Industrial Control.

Pencapaian berganda ini membuktikan keupayaan pelajar UTHM untuk bersaing dengan peserta daripada institusi latihan kemahiran dan teknikal lain, di samping mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam melahirkan graduan yang kompeten serta bersedia menghadapi keperluan industri.

Kejayaan tersebut juga diharap dapat menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh budaya inovasi, latihan berasaskan amali dan penyertaan mahasiswa dalam pertandingan kemahiran di peringkat lebih tinggi.

Walaupun tempat ketiga menjadi kedudukan yang dicapai, usaha, semangat berpasukan dan komitmen yang ditunjukkan oleh para peserta serta jurulatih jelas mencerminkan semangat juara.

Semoga pencapaian ini menjadi pembakar semangat kepada seluruh warga UTHM, khususnya mahasiswa dalam bidang teknikal dan vokasional, untuk terus meningkatkan kompetensi serta melakar kejayaan yang lebih cemerlang pada masa hadapan.

Total Views: 36